Datuk Jalaluddin Harun, Ketua Pengarah MTIB

KUALA LUMPUR – Eksport produk perkayuan dijangka meningkat sekitar 5 hingga 6 peratus tahun depan didorong oleh peningkatan eksport perabot.

Ketua Pengarah Lembaga Industri Perkayuan Malaysia, Datuk Jalaluddin Harun berkata, bagi 10 bulan pertama tahun ini, eksport perkayuan dan produknya mengalami peningkatan sebanyak 6.2 peratus atau kira-kira RM19 bilion.

“Jika trend ini berterusan, kita boleh menyaksikan perkembangan eksport sebanyak RM23 bilion tahun hadapan.

“Pertumbuhan ini dipacu oleh barangan perabot dan ini merupakan hasrat kerajaan yang dinyatakan dalam Dasar Perkayuan Kebangsaan 2009-2020 yang bermatlamat untuk meningkatkan pengeluaran dan eksport produk perkayuan yang telah diberi nilai tambah.

“Dalam hal ini, kita melihat perabot mampu menjadi pemacu kepada pertumbuhan tersebut,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan produk penjagaan badan berasaskan kayu gaharu, Anjeli di sini.

Menurut Jalaluddin, Malaysia mengeksport produk perkayuan ke lebih 162 negara dengan pasaran terbesar datang daripada Jepun, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, India, Australia dan Korea Selatan.

Tambah beliau, Malaysia berhasrat untuk meningkatkan lagi jumlah eksport terutama perabot pada masa akan datang kerana selain memberi pulangan yang lebih lumayan, kebanyakan pengeluar perabot pada masa kini tidak lagi bergantung kepada buruh asing kerana menggunakan automasi.

Bagaimanapun, bagi Sabah dan Sarawak, mereka masih belum betul-betul memasuki pasaran hiliran sektor perkayuan.

Dengan itu, beliau berharap lebih banyak pemain industri di luar semenanjung untuk menghasilkan produk bernilai tambah sebelum dieksport bagi menghasilkan pulangan yang lebih tinggi. – MalaysiaGazette