Mohd Ali Baharom

KAJANG – Pemimpin NGO No 1 Malaysia, Mohd. Ali Baharom bercadang untuk mengadakan bantahan beramai-ramai bersama ahlinya di hadapan pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ali Tinju berkata, langkah itu sebagai mendesak agensi yang bertanggungjawab itu supaya mempercepatkan proses kelulusan pendaftaran Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira) yang didakwa ‘dianaktirikan’ RoS.

“Saya berharap RoS tidak menimbulkan masalah terhadap mana-mana parti yang mengemukakan permohonan kelulusan pendaftaran.

“Saya kecewa melihat sikap RoS yang seolah-olah melengah-lengahkan proses pendaftaran Pekira. Apa yang susah sangat untuk meneliti dan meluluskan segera Pekira.

“Kalau ada sebarang pembetulan yang diperlukan dalam perlembagaan Pekira, sila laporkan kepada mereka supaya dapat dikemaskini segera untuk memudahkan kelulusan, tak payah buat tak tahu sahaja,” katanya yang hadir dalam sidang media anjuran Pekira di sini hari ini.

Ali Tinju berkata, bantahan itu dirancang menjelang awal Januari depan.

“Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab perlu memberi ‘lampu hijau’ kepada RoS untuk menyegerakan kelulusan parti Pekira supaya mereka dapat memulakan gerak kerja.

“KIta tidak mahu ahli-ahli Pekira kecewa dan meninggalkan parti kerana mereka merupakan penyokong tegar Barisan Nasional terutamanya UMNO,” tegasnya yang hadir atas kapasiti Mohd. Ridzuan sebagai sahabat dalam gerakan NGO. – MalaysiaGazette