Presiden Pekira, Mohd. Ridzuan Abdullah (tengah) meraikan salah seorang ahli parti itu di Kajang hari ini.
KAJANG –  Sesetengah parti komponen Barisan Nasional (BN) dan pemimpinnya didakwa masih ‘tidur’ dan tidak bersungguh-sungguh mendekati dan memperjuangkan masalah rakyat.
Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia, Mohd. Ridzuan Abdullah mendakwa, melihat kepada keadaan politik semasa hanya UMNO sahaja bekerja mati-matian untuk PRU-14.
Katanya, cara pemikiran parti-parti komponen BN masih bersifat ortodoks dan kuno sehingga tidak sedar diri arus perubahan dan perkembangan pemikiran rakyat sekarang.
“Komponen BN leka da tidak buat kerja secara ikhlas dalam memperjuangkan rakyat dan saya dapat melihat mereka mula merasai kehadiran dan persaingan daripada parti-parti baharu yang menyokong BN.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu mengambil berat perkara ini secara serius dan menanganinya demi memastikan rakyat sentiasa bersama BN dan mensejahterakan pembangunan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd. Ridzuan berkata, Pekira salah sebuah parti yang berjaya merekrut lebih 20,000 ahli dan sebahagiannya pernah menjadi pengundi atas pagar juga kecewa ekoran sikap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang masih enggan meluluskan pendaftaran parti itu.
“Bayangkan, 80 peratus daripada 20,000 ahli kami seluruh negara adalah pengundi atas pagar yang kini bersama BN.
“Jika saya suruh undi BN mereka akan mengikut perintah yang mana mereka kini sudah jelas pihak mana yang boleh mensejahtrakan kehidupan rakyat dan perlu sokong.
“Jika RoS masih melengah-lengahkan proses pendaftaran Pekira, ini seolah-olah boikot kerajaan BN, mungkin ada unsur sabotaj tetapi saya tak pasti siapa,” dakwanya lagi.
Justeru katanya, pihaknya juga mengatur perjumpaan dengan Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim awal Januari ini sebagai mempercepatkan proses pendaftaran Pekira.
“Saya telah menghubungi beliau (Surayati) menerusi telefon, harap segalanya berjalan seperti yang dirancang. Pekira mahu menyumbang cara kerja baharu kami kepada BN untuk menang PRU-14 dan membela pembangunan ekonomi rakyat,” ujarnya.- MalaysiaGazette