KUALA LUMPUR – Pertubuhan Aduan Rakyat Malaysia (PAR) menyifatkan cadangan Pas yang mahu mewujudkan Kabinet yang dibarisi para pemimpin beragama Islam Melayu sahaja sebagai tidak relevan.

Cadangan itu didakwa hanya akan mencetuskan rasa kurang senang dan kemarahan dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional khususnya MCA dan MIC yang menganggotai Kabinet bersama UMNO sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Presiden PAR Datuk A. Chandrakumanan berkata, cadangan tersebut akan melemahkan peranan bukan Islam yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara.

“Ramai yang gagal sedar bahawa dalam demokrasi, ia hanyalah permainan nombor di kemudian hari. Tidak ada yang lebih daripadanya.

“Jika MCA, MIC dan parti komponen lain dalam BN tidak menyumbang jumlah kerusi kemenangan bersama BN, maka pada masa akan datang UMNO mungkin mempertimbangkan pilihan lain untuk membentuk kerajaan Pusat.

“Saya boleh katakan opsyen lain yang ada ialah membentuk pakatan erat dengan Pas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Chandrakumanan, apa yang ditegaskan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh dipatahkan jika parti bukan Islam dalam BN menyerang Hadi sebagai pemimpin rasis.

Tetapi, katanya daripada berbuat demikian, parti-parti komponen perlu berusaha gigih untuk memastikan aspirasi Hadi tidak menjadi realiti.

Justeru jelas beliau, buat masa sekarang, pemimpin parti komponen BN hanya terlibat dalam perebutan kerusi untuk bertanding dalam pilihan raya.

Ujarnya, cara terbaik untuk mereka adalah menerangkan segala dasar kerajaan kepada rakyat dan membangunkan jenama BN.

“Jika apa yang didakwa Hadi berlaku, maka pemimpin parti komponen BN tidak boleh menuding jari terhadap mana-mana pihak kecuali diri mereka yang perlu menanggung akibatnya kerana bertanggungjawab ke atas situasi itu.

“Setiap rakyat Malaysia khususnya mereka yang layak mengundi perlu mengambil pertimbangan cadangan Abdul Hadi Awang apabila mengundi nanti.

“Mereka akan sedar bahawa hanya BN yang diketuai UMNO akan melindungi kepentingan bukan Melayu dan selain kejayaan BN berjaya menerajui kerajaan selama 60 tahun tiada bukti lain yang boleh dihuraikan di sini,” katanya. – MalaysiaGazette