Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh (tengah) menunjukkan salah satu pek jus buah-buahan yang digunakan untuk mengedar dadah pada sidang media di Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Nampaknya sindiket dadah semakin licik dan kali ini mereka ‘menggunakan’ pek serbuk minuman jus buah-buahan bagi mengabui mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun, taktik terbaharu itu berjaya dikesan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, rampasan dadah bernilai keseluruhannya RM1.7 juta itu dilakukan menerusi empat serbuan di Selangor dan Kuala Lumpur.

Serbuan diadakan antara pukul 4.15 hingga 6.50 petang pada 27 Disember lalu.

Katanya, Pasukan Taktikal Khas Narkotik (STING) dalam serbuan pertama di empat kawasan perumahan Bukit Serdang, Seri Kembangan menahan seorang lelaki berusia sekitar 20-an ditangkap dan merampas 13 kilogram dadah disyaki ketamin dipercayai untuk pasaran antarabangsa termasuk Taiwan.

Hasil saringan air kencing suspek mengesahkan positif metafetamin.

“Manakala dalam serbuan kedua di sebuah premis Taman Bukti Serdang juga, polis berjaya merampas 2,160 pek serbuk minuman jus segera yang mengandungi campuran serbuk dadah ekstasi seberat 19.44 kilogram (kg).

“Polis dalam satu lagi serbuan di Jinjang Selatan Tambahan pula berjaya menangkap seorang lelaki berusia 50-an bersama 12.94 kg dadah jenis prekursor ephedrine yang disyaki untuk dijadikan bahan utama memproses ais dan ubat batuk,” ujarnya dalam sidang media hari ini.

Menurut Mohmad Salleh, serbuan keempat di Bandar Putra Permai pula pihaknya berjaya menahan suspek ketiga berusia 40-an dan didapati positif methamphetamine dan amphethamine.

Tambah beliau, dua suspek tidak mempunyai rekod lampau kecuali lelaki yang ditahan di Jinjang Selatan Tambahan mempunyai rekod siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Dalam serbuan sama katanya, polis juga menyita dua buah kereta anggaran bernilai RM45,000 dipercayai digunakan dalam pengedaran dadah.

“Ketiga-tiga suspek merupakan dari rangkaian sindiket yang sama dan polis sedang memperincikan siasatan untuk mengenalpasti dalang disebalik sindiket ini,” ujarnya lagi.

Kesemua suspek direman dibawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum gantung sampai disabitkan kesalahan mereka.

“Setiap pek minuman yang mengandungi serbuk dadah ketamin itu adalah untuk pasaran tempatan ke pusat hiburan disekitar Lembah Klang dengan RM350 setiap satu,” ujarnya sambil menambah sindiket berkenaan berjaya memperoleh menerusi pasaran gelap dengan harga sekitar RM25,000,” tegasnya. – MalaysiaGazette