Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah menolak tawaran pengantaraan AirAsia dalam satu surat yang dihantar oleh peguam pengendali lapangan terbang itu. 

KUALA LUMPUR – Tindakan kakitangan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) tidak membenarkan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun menaiki pesawat kerana tertinggal kad pengenalan adalah sejajar dengan peraturan dan memastikan keselamatan pintu masuk negara.

Pengendali lapangan terbang itu dalam satu kenyataan berkata, meskipun bersimpati dengan kesusahan bapa dan kanak-kanak tersebut, MAHB terpaksa meletakkan protokol keselamatan mengikut peraturan yang ditentukan oleh Jabatan Penerbangan Awam, Jabatan Imigresen Malaysia dan polis sebagai keutamaan ketika mengendalikan situasi semalam.

Protokol keselamatan yang ketat itu juga sejajar dengan Program Keselamatan Penerbangan Awam Kebangsaan yang hanya membenarkan penumpang yang mempunyai pengenalan asli atau dokumen perjalanan yang sah menaiki pesawat.

“Kami memahami kesusahan yang dialami oleh Wan Fadillah Wan Ahmad serta anaknya namun kami tidak mampu berkompromi dengan perkara ini kerana langkah tersebut adalah untuk melindungi keselamatan lapangan terbang yang merupakan pintu masuk negara.

“Ia merupakan tanggungjawab kami untuk memastikan semua penumpang memiliki dokumen yang sah.

“Kami minta supaya rakyat faham peranan kami di dalam melindungi keselamatan lapangan terbang dan protokol tegas ini adalah yang terbaik di dalam memastikan keselamatan semua terutamanya penumpang lebih-lebih lagi dengan kes-kes pemerdagangan manusia yang turut melibatkan kanak-kanak.

“Kami harap semua pihak terutamanya ibu bapa menghargai pemeriksaan ketat yang dilakukan oleh pegawai kami,” katanya.

Hari ini viral kisah seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang tersadai di klia2 selama sembilan jam kerana gagal menaiki pesawat ekoran tertinggal kad pengenalan.

Menurut bapa berkenaan, pegawai-pegawai MAHB tidak menggunakan budi bicara semasa menangani isu berkenaan.

Dalam pada itu, MAHB menjelaskan, kanak-kanak berkenaan tidak ditinggalkan berseorangan di terminal sebagaimana dilaporkan.

Sebaliknya dia dijaga oleh sepasang warga emas dan menurut kamera litar tertutup (CCTV), kanak-kanak dan pasangan tersebut dilihat meninggalkan lapangan terbang pada jam 1.48 petang dengan menaiki sebuah kereta. – MalaysiaGazette