Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) merancang untuk mengesahkan pensijilan kesemua 70 buah kompleks kilang dengan keperluan RSPO dan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) menjelang tahun 2021.

Pada akhir bulan lepas, syarikat perladangan sawit terbesar di Malaysia itu telah menerima Pensijilan Prinsip dan Kriteria (P&C) Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) untuk lapan buah kompleks kilangnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad berkata, lapan buah kompleks kilang yang setakat ini telah diperakui dijangka akan menghasilkan lebih 200,000 metrik tan Minyak Sawit Lestari Diperakui (CSPO) dan hampir 60,000 metrik tan Minyak Tempurung Sawit Lestari Diperakui (CSPK).

Selain daripada manfaat premium yang ditawarkan, FGV berpeluang menembusi pasaran Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Utara, serta pelanggan yang mahu produk minyak sawit yang diperakui, katanya.

Pada Mei 2016, walaupun kekal sebagai ahli RSPO, FGV menarik diri secara sukarela semua pensijilan P&C RSPO kompleks kilangnya dan mengakui terdapatnya isu-isu buruh dan sosial sepanjang rantaian bekalan yang perlu ditangani.

“Kami merasakan amat penting untuk menangani kawasan yang terdapat kebimbangan utama. Untuk 2018, kami menyasarkan untuk mengesahkan pensijilan bagi lapan buah kompleks kilang menjelang Mac dan lebih daripada 30 buah kompleks kilang yang akan diaudit oleh RSPO dan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) menjelang akhir Disember,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

“Salah satu daripada strategi utama kami adalah pengenalan kepada Polisi Kelestarian Kumpulan (GSP) yang digunakan di seluruh operasi, anak syarikat dan kontraktor kami untuk menangani jurang dan mewujudkan rantaian bekalan yang lebih inklusif.

GSP memberi penekanan yang lebih besar untuk meningkatkan nilai kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan dalam cara yang lestari dan inklusif,” ujar Dato’ Zakaria.-MalaysiaGazette