Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan Buku Perancangan Strategik Kementerian Dalam Negeri 2018 kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (dua kiri) sambil diperhatikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim (tengah) pada majlis pelancaran buku tersebut di Pejabat KDN, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 04 JANUARI 2018.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memfokuskan lapan aspek dibawah 25 Indeks Pencapaian Utama (KPI) bagi memperkasakan tahap penyampaian pegawai,jabatan serta agensi dibawah kementerian itu pada tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengurangan jumlah KPI untuk KDN kepada 25 berbanding 38 bagi tahun 2017 tidak akan melunturkan semangat dan misinya untuk memastikan kementerian itu sentiasa cemerlang dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Bagi KPI tahun 2017 saya tetapkan sebanyak 38 KPI dengan sasaran pencapaian sebanyak 138 peratus dan kita berjaya melepasi sasaran itu dengan mencapai 157 peratus.

“Kali ini walaupun jumlah KPI diturunkan kepada 25 sahaja, fokus kami akan diteruskan dalam memperkasa dan mempertingkatkan prestasi kebertanggungjawaban semua jabatan di bawah kementerian tanpa cepat selesa dan puas hati,” katanya yang juga Menteri Dalam Negeri dalam ucapan di Majlis Penyampaian Buku Perancangan Strategik KDN 2018 di Putrajaya hari ini.

Kelapan-lapan perkara utama yang difokuskan ialah memperketatkan peratusan dan mempertingkatkan penguatkuasaan untuk membanteras jenayah dan Pendatang Asing Tanpa Izin, memelihara dan menjunjung integriti dalam setiap tindakan dan pertimbangan supaya imej KDN sentiasa terpelihara.

Selain itu katanya, KDN secara serius akan memperkukuh dan mempelbagaikan inisiatif penglibatan komuniti dalam usaha mencegah jenayah dan meningkatkan persepsi rasa selamat dalam kalangan rakyat, memperkukuh keselamatan sempadan negara sebagai membanteras pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran serta jenayah rentas sempadan.

“Malah KDN juga akan membudayakan pemikiran tanpa kotak, minda strategik dan minda keselamatan dalam kalangan warga KDN, memperkemas strategi pencegahan dan kawalan radikalisme, ekstremisme dan usaha memerangi keganasan global, meningkatkan kesedaran tentang jenayah sebagai langkah pendidikan pencegahan melalui kempen di insititusi pendidikan, komuniti, tempat kerja dan media sosial dan yang terakhir adalah memperhebatkan usaha koreksional, rawatan pemulihan dan program selepas pemulihan bagi mengekang kadar pengulangan jenayah dan penagihan dadah,” ujarnya.

Bagi memastikan misi itu tercapai Ahmad Zahid menggesa semua warga KDN supaya terus mendahului dengan cara memandang rakyat, pelanggan dengan cara lebih luas dan sentiasa dinamik.

“Daripada fikir di luar kotak, pemikiran dan tindakan tanpa kotak adalah lebih berkesan untuk mengekalkan keintegritian serta penyampaian kakitangan KDN sentiasa berada pada tahap tertinggi.

“Mungkin ramai di luar sana tidak sedar akan keikhlasan kita dan segala yang dicapai menerusi KPI, namun ia tidak akan melunturkan semangat kami daripada terus mengejar misi demi rakyat dan untuk rakyat,” tegasnya.- MalaysiaGazette