Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan (tengah) bersama Noraini Muslim dalam sidang media mengenai keengganan Institusi Pengajian Tinggi Swasta membayar semula baki yuran daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional di Our Private Place @ Villa Puteri Condominium Kuala Lumpur. foto, IMRAN FAKHRI 04 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di utara tanahair didakwa  ‘cekik darah’ dengan mengambil sebahagian wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan sumbangan zakat kepada para pelajarnya.

Kini ada bekas graduan IPTS terbabit hidup terseksa – selain tidak dapat jaminan pekerjaan seperti dijanjikan mereka juga terpaksa menanggung hutang PTPTN.

Salah seorang daripada mangsa, Noraini Muslim, 26, berkata, pihak pengurusan kolej di IPTS itu didakwa menolak sejumlah yang daripada pinjaman tersebut dengan alasan kos pentadbiran antara kolej berkenaan dengan PTPTN.

“Pinjaman untuk program ijazah dan diploma saya RM70,000. Satu semester saya dapat RM8,000 dan jumlah yuran pengajian saya dalam lingkungan lebih RM3,000.

“Sepatutnya saya dapat RM4,500 tapi setiap semester, pihak kolej akan tolak RM500 atas alasan kos pentadbiran. Saya tidak tahu kenapa pihak kolej buat begitu, sepatunya tidak ada tolak lagi sebab kita pinjam daripada PTPTN,” katanya dalam sidang media selepas mengadu hal berkenaan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini hari ini.

Bekas graduan IPTS, Noraini Muslim, 26, yang didakwa menjadi mangsa sebuah IPTS ketika ditemui dalam sidang media di Our Private Place @ Villa Puteri Condominium Kuala Lumpur. foto IMRAN FAKHRI 04 JANUARI 2018.

Menurut Noraini, setiap semester pihak pengurusan IPTS akan memotong RM500 daripada jumlah pinjaman PTPTN selain yuran pengajian yang berjumlah RM3,000.

Perkara itu berterusan sehinggalah beliau tamat pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda Perbankan Islam dan Kewangan dua tahun lalu.

“Semasa semester pertama ijazah, saya ada tanya pihak pengurusan kenapa ada potongan? Pihak kolej jawab ada penolakan atas alasan caj antara pihak kolej dan PTPTN.

“Tetapi bila saya rujuk kepada PPIM, mereka kata tidak perlu caj lagi sebab itu pinjaman dengan PTPTN dan bukannya dengan pihak kolej,” ujarnya.

Malah lebih memeranjatkan apabila bantuan zakat daripada kerajaan Negeri Kedah kepadanya juga ditolak 50 peratus oleh pihak pengurusan kolej yang sama.

“Setiap tahun saya dapat bantuan zakat RM400 untuk setiap anak-anak Kedah tapi pelik apabila pihak kolej tolak juga bantuan itu sebanyak 50 peratus. Itu duit saya.

“Pihak kolej beri alasan ada yuran tunggakan dalam bil saya. Padahal ada potongan pinjaman PTPTN sebanyak RM3,000,” ujarnya lagi.

Justeru itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan mendesak agar kerajaan terutamanya pihak Kementerian Pendidikan Tinggi masuk campur dalam isu itu bagi membela nasib pelajar-pelajar yang ditindas semata-mata ada IPTS yang bermatlamat  mengejar keuntungan.

“Ia perlu didedahkan melibatkan pelajar yang buat pinjaman untuk melanjutkan pelajaran. Aduan melibatkan kolej yang dilihat mengambil kesempatan melalui pinjaman PTPTN. Kita terima aduan antaranya duit yang dimasukkan ke kolej tidak diagihkan kepada pelajar.

“Kita lihat ada penipuan oleh kolej tertentu dimana pinjaman masuk ke akaun pelajar tapi pihak kolej potong lebih daripada yang dibenarkan dengan alasan kos pengajian yang tinggi,” kata Nadzim.

Malah katanya, PTPTN juga didesak agar memantau pihak pengurusan kolej terutamanya pihak swasta dalam mengagihkan pinjaman kepada pelajar bagi mengelak kejadian sama berulang. -MalaysiaGazette

Comments are closed.