Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Pelancaran Buku Perancangan Strategik Kementerian Dalam Negeri 2018 di Pejabat KDN, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 04 JANUARI 2018.

PUTRAJAYA – Semua warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta supaya memberi kerjasama dan bertindak pantas dalam memberi penjelasan yang sebenar kepada rakyat terhadap isu-isu yang memburukkan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu penting kerana menjangkakan tahun 2018 ini keadaannya menjadi lebih mencabar.

“Jangan selesa dan cepat berpuas hati kerana tahun ini akan jadi paling mencabar kerana pelbagai isu yang akan dimainkan oleh pihak tertentu khasnya apabila PRU-14 akan diadakan bila-bila masa daripada sekarang.

“Bukan sahaja isu dalam negara tetapi juga isu luar negara juga akan timbul yang mana kita dapat melihat bibit-bibit krisis yang berlaku di negara Islam di Teluk, isu Baitulmaqdis, isu Korea Utara dan sebagainya.

“Kesemua cabaran dalaman dan luaran ini sudah tentu memberi implikasi keselamatan kepada negara,”katanya di Majlis Penyampaian Buku Perancangan Strategik KDN 2018 di Putrajaya di sini.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berharap warga KDN di semua peringkat jabatan dan agensi supaya menggembleng tenaga untuk menangkis semua maklumat yang tidak sahih.

Dalam perkembangan sama, katanya, warga KDN perlu menyediakan perkhidmatan terbaik selain memelihara keselamatan rakyat serta memastikan cubaan memburukkan imej kerajaan khususnya dan KDN dapat ditepis.

“Anda semua perlu bersedia dengan maklumat serta fakta yang tepat untuk menjelaskan kepada rakyat supaya mereka tidak lari dari dasar kerajaan yang diusahakan demi kesejahteraan berterusan,” tegasnya.- MalaysiaGazette