Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas Majlis Penutup Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya 2018 di Hotel Marriot Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 06 JANUARI 2017

PUTRAJAYA – Malaysia sedia berkongsi kejayaan mengenai program deradikalisasi dengan negara-negara lain bagi memperluaskan usaha menangani ektremis dan militan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu boleh dilaksanakan menerusi kerjasama pertubuhan Rabitah Al-Alam Al-Islami susulan kejayaan penganjuran Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya (PISD) 2018 hari ini.

“Kita berkongsi kejayaan 97.5 peratus program deradikalisasi yang telah dilaksanakan di negara ini.

“Ia juga melibatkan cara menangani minda dan jiwa mereka yang terlibat dalan aktiviti keganasan dan militan selain kita tekankan mengenai kaedah yang dilaksanakan oleh polis dan tentera,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penutup PISD 2018 di sini.

Sementara itu, Zahid berkata, kumpulan pengganas wujud dalam semua agama, oleh itu usaha pencegahan perlu dilakukan semua agama.

“Kita tidak berhasrat bergerak secara peribadi tetapi kita sentiasa bekerjasama dengan ulama dan cendekiawan untuk menumpukan soal ideologi dan pemikiran yang menjuruskan ke arah ekstremis agar kembali kepada al-Quran dan al-Hadis.

“Dalam hal ini kita rasa dialog antarabangsa diperlukan sebagai satu platform dan bukan sekadar antara agama tetapi melihat kepada kebijaksanan dan kesusilaan dalam menanganinya,” katanya. – MalaysiaGazette