Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Pengagihan kerusi Parlimen oleh komponen parti Pakatan Harapan (PH) kelmarin, memberi kelebihan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, PKR yang mendapat 51 kerusi mempunyai peluang untuk menang berbanding 52 kerusi diperuntukan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan 27 kerusi untuk Parti Amanah Negara (PAN).

Katanya, DAP pula terus berada dalam keadaan selesa walaupun mendapat 35 kerusi yang keseluruhan kawasan dipertandingkan berpotensi untuk menang besar.

“Kerusi yang dipertandingkan oleh PKR adalah kerusi yang ada kemungkinan untuk menang. Dari segi taburan pengundi di kawasan mereka, Melayu 60 peratus dan bukan Melayu 40 peratus.

“PPBM dapat 52 kerusi. Dari segi parti baharu dapat banyak (kerusi) kira baguslah. Bila saya teliti dan kaji, ia lebih kurang kerusi gred C. Kerusi yang bolehlah nak bertanding, tapi tak mudah untuk menang.

“Ini kerana banyak kerusi yang diperolehi oleh PPBM adalah kawasan dimenangi Barisan Nasional (BN),” katanya pada sidang media di pejabat Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di sini, hari ini.

PH kelmarin mengumumkan pengagihan kerusi Parlimen yang akan ditandingi parti komponen itu pada PRU14 iaitu PPBM 52 kerusi, PKR (51), DAP (35) dan PAN 27 kerusi, keseluruhannya 165 kerusi di Semenanjung Malaysia.

Menurut Dr. Ibrahim, DAP mendapat kerusi yang kekal menang dan dijangka boleh menang semua kerusi seperti Parlimen Bukit Bintang, Seputih, Batu, Segambut dan Petaling Jaya Utara.

“Walaupun MCA dan Gerakan dilihat sudah ‘bersatu’, pada saya parti ini banyak bergantung kepada pengundi Melayu. Mereka tidak berpeluang besar untuk menang seperti DAP,” katanya.

Mengenai PH hendak melantik Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sekiranya pakatan menang, Dr. Ibrahim berkata, beliau agak terperanjat, lebih lagi Pengerusi PPBM itu dikatakan mahu memegangnya selama enam bulan atau satu tahun sahaja.

Selepas itu, katanya, Dr. Mahathir akan lepaskan jawatan itu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik keluar dari penjara nanti.

“Kenapa PH masih hendak menobatkan seorang bekas banduan sebagai perdana menteri? Kalau ini cara dan kaedahnya, saya tidak tahu macam mana mereka hendak mentadbir negara.

“Kita ada perlembagaan, tapi di Malaysia agak aneh, ada banduan bakal diumumkan akan menjadi perdana menteri kelapan,” katanya.

Dr. Ibrahim yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas menyatakan, seseorang banduan yang hendak mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong kena melalui banyak proses.

Bagaimanapun, ujarnya, pengumuman PH itu seolah membelakangi kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan akan berbuat apa sahaja bila memerintah.

“Ada cita-cita, ada matlamat untuk menjadi perdana menteri pun perlu ikut peraturan dan undang-undang, yang mana akhir sekali kita lihat PH ini milik tiga beranak. Anwar (perdana menteri), isteri (Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) timbalan perdana menteri dan anak (Nurul Izzah) menteri.

“Seolah-olah tidak ada pemimpin lain yang berwibawa untuk jadi perdana menteri,” katanya yang sedang menunggu untuk melihat manifesto PH. – MalaysiaGazette