Kotak yang dipercayai berisi rokok seludup yang dirampas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua di Pusat Perdagangan Kempas, Tampoi, Johor.

JOHOR BAHRU – Sejumlah 185 karton rokok pelbagai jenama yang cuba diseludup untuk dipasarkan di sekitar bandar raya ini dirampas Pasukan Polis Marin Wilayah (PPM) Dua di Jalan Cengkerik, Pusat Perdagangan Kempas, Tampoi di sini 4 petang semalam.

Komandernya, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, seorang suspek lelaki berusia 21 tahun turut ditahan semasa sedang menghantar barangan dipercayai rokok yang diseludup itu ke kedai-kedai.

“Bertindak hasil maklumat orang awam, PPM Wilayah Dua menahan sebuah kenderaan jenis Proton Waja dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan telah menemui sejumlah kotak yang dipercayai berisi rokok tidak sah.

“Kotak-kotak itu ditemui di tempat duduk belakang dan di ruang simpanan barang belakang kereta tersebut. Rokok yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM18,227.16,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, rokok yang dirampas itu antaranya berjenama u2 Merah, Canyon, John British, LA Bold, Surya 16 dan Semporna.

Beliau berkata, kes itu disiasat disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967. – MalaysiaGazette