Zulzaim Hilmee Abidin
Zulzaim Hilmee Abidin

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Sabah menggesa kerajaan negeri itu bertindak memastikan firma utiliti elektrik, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menjadi hak negeri secara sepenuhnya demi kepentingan rakyat.

Ketua Pemudanya, Zulzaim Hilmee Abidin berkata, sejak sekian lama pemilikan terbesar SESB ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan pegangan saham 80 peratus, tetapi agak pelik hanya kira-kira 20 peratus pegangannya milik kerajaan negeri.

Lebih mengecewakan, kata beliau, mutu bekalan elektrik masih tidak berada pada tahap memuaskan kepada keseluruhan rakyat Sabah dan SESB pula didakwa sedang berhadapan dengan krisis kewangan.

“Adakah punca kemelut kewangan SESB tidak dapat menjana keuntungan yang banyak disebabkan perjanjian yang dimeterai syarikat itu dengan pihak berkaitan?

“Ini amat mencurigakan apabila keadaan tersebut didakwa disebabkan perjanjian antara penjana kuasa bebas (IPP) dan SESB yang dikelolakan sendiri oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sememangnya tidak menguntungkan SESB.

“Jika demikian, kerajaan negeri perlu kembali menilai dan berusaha untuk menambah pegangan ke atas SESB sekurang-kurangnya 60 peratus pegangan saham dan mencontohi langkah proaktif kerajaan Sarawak,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Zulzaim Hilmee berkata, Sarawak memegang penguasaan firma utiliti Sarawak Energy di negeri itu dalam menjaga kepentingan berkaitan.

“Kami berpandangan jika SESB sepenuhnya milik kerajaan negeri, sudah tentu tindakan mengutamakan keuntungan kepada IPP semata-mata berbanding SESB dapat diatasi.

“Begitu juga hak penjanaan tenaga diberi sepenuhnya kembali kepada SESB demi membela keutamaan dan keperluan yang seharusnya menjadi hak milik kepada negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazette