Kongsi
Hishammuddin Hussein menyaksikan demonstrasi Ejaction Seat Trainer sambil diiringi Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang (kiri) pada Lawatan Kerja Menteri Pertahanan dan Kesiagaan Pesawat TUDM di Institut Perubatan Penerbangan (IPP), Pangkalan Udara Subang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 12 JANUARI 2018

SHAH ALAM – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hisahammuddin Tun Hussein berpuas hati dengan pengoperasian Institut Perubatan Penerbangan (IPP) Pangkalan tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dalam menyediakan kesiapsiagaan infrastruktur dan anggota.

Katanya, IPP telah menunjukkan beberapa kelebihan tertentu yang boleh diletakkan setaraf dengan negara maju lain, termasuk memberi keupayaan kepada pemegang kepentingan untuk menentukan apa keperluan mereka.

“Lawatan saya hari ini berbeza sedikit daripada lawatan yang saya lakukan kebelakangan ini yang bersandarkan kepada agenda kebajikan anggota tentera.

“Hari ini saya turun sendiri untuk melihat agenda kesiapsiagaan aset dan juga warga TUDM, selain mendapatkan maklum balas apa perancangan kita untuk keperluan aset TUDM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke IPP Pangkalan TUDM Subang di sini, hari ini.

Hishammuddin Hussein meluangkan masa melawat ruang Decompression Chamber sambil diiringi Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (kanan) pada Lawatan Kerja Menteri Pertahanan dan Kesiagaan Pesawat TUDM di Institut Perubatan Penerbangan (IPP), Pangkalan Udara Subang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 12 JANUARI 2018Selepas itu, beliau menunaikan solat Jumaat di Masjid Pangkalan Udara Subang.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Ketua setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi; Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Panglima Perkhidmatan dan pegawai kanan ATM dan awam Kementerian Pertahanan.

Pada lawatan program Jelajah Perkasa Perwira itu, Hisahmmuddin diberi taklimat mengenai pengoperasian IPP oleh Pengarahnya, Brigedier Jeneral Datuk Dr. Zahari Jusoh dan melihat demonstrasi latihan kerusi tunjal serta meninjau pesawat Nuri, pesawat C130H dan pesawat Hawk 208.

Mengenai tiga pesawat berkenaan, beliau berkata, ia dalam proses penambahbaikan dan naik taraf serta bangga kerana sudah dapat berada di landasan untuk berkhidmat.

“Tiga pesawat ini iaitu Helikopter Nuri, pesawat Charlie C130H dan pesawat perang Hawk 208 adalah projek menaiktaraf kepada perancangan kita untuk keperluan jangkamasa sederhana dan panjang TUDM.

“Harapan kita ialah hendak melihat pesawat logistik pengangkutan ini berada dalam keadaan baik dan menitik beratkan ciri keselamatan supaya ianya dapat terbang dan memberi kemudahan kepada anggota kita menggunakannya,” kata beliau,

Katanya, hala tuju kerajaan adalah telus dan diharapkan dapat memberi semangat kepada anggota tentera, di samping memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan ini untuk memastikan perniagaan teras ialah menjamin keselamatan serta pertahanan tanah air tercinta.

Ditanya mengenai IPP, Hishammuddin menjelaskan, beliau telah mengarahkan Dr. Zahari untuk menentukan hala tuju dan keperluan institut berkenaan.

“Perkara-perkara yang dah sedia ada ini kalau perlu ditambah nilai, biarlah mereka sebagai pengendali yang menentukannya. Kita di atas akan terima. Kita gunakan konsep keperluan dari bawah mesti sampai ke atas,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan