Shahrir Abdul Samad.

KUALA LUMPUR – Kelemahan struktur pengurusan adalah punca kemelut yang dihadapi oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) ketika ini, kata Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Samad.

Reaksi Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Tan Sri Shahrir Abdul Samad ketika bercakap kepada media mengenai penjualan tanah FELDA di Jalan Semarak di Menara FELDA, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 21 DISEMBER 2017

Bercakap kepada Bernama hari ini, beliau bagaimanapun menegaskan, penstrukturan semula kumpulan pengurusan di bawah Felda telah menunjukkan beberapa kemajuan dengan setiap anak syarikatnya diketuai oleh pengerusi berbeza bagi memastikan kelancaran operasi.

“Sejajar kedudukannya sebagai agensi kerajaan, Felda memiliki pengerusi dan ahli Lembaga Pengarahnya sendiri. Pada masa sama, Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) yang merupakan sebuah entiti perniagaan, juga mempunyai pengerusi dan ahli Lembaga Pengarah yang berbeza.

“Ini bagi mengelak sebarang kekeliruan dari segi pengagihan kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bahawa kemelut Felda adalah disebabkan oleh salah laku dalam agensi berkenaan.

Johari dipetik sebagai berkata, isu seperti model perniagaan yang salah, kelemahan pengurusan dan tadbir urus merupakan tiga punca utama beberapa syarikat milik kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengalami masalah selain kegagalan mendapatkan bakat yang tepat dan bersesuaian.

Namun, Shahrir sebaliknya berkata Felda dan anak syarikatnya tidak berdepan kesukaran mendapatkan khidmat bakat yang diperlukan kerana mengambil mereka yang pakar dalam bidang masing-masing.

Selain itu, beliau turut menyambut baik pelaksanaan audit forensik ke atas projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Jalan Semarak di sini, yang disifatkan beliau amat tepat bagi memastikan tidak wujud sebarang masalah dalam agensi itu.

“Proses audit itu masih berjalan dan pasukan forensik terbabit akan datang ke Felda minggu depan untuk meneruskan siasatan mereka,” katanya.

Pihak Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah melantik sebuah firma audit luar untuk melaksanakan audit forensik ke atas projek KLVC yang sedang dibangunkan oleh Synergy Promenade Sdn Bhd.

Firma audit itu antara lainnya akan menjalankan audit forensik ke atas semua aktiviti, keputusan dan tindakan berkaitan selain menilai semula proses pengawalan berkaitan, termasuk kelemahan dalam pentadbiran dalaman serta pengawasan Felda ke atas sayap pelaburannya, Felda Investment Corporation Sdn Bhd.

Laporan sebelum ini menyatakan siasatan firma audit itu turut melibatkan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pada 21 Disember lepas, media melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak itu yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta susulan transaksi yang didakwa sebagai ‘meragukan’ pada 2015. – BERNAMA