ALOR SETAR, 12 Jan -- Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (duduk, kanan) menyampaikan sumbangan wang tunai dan kotak Bantuan Rakyat Kedah (BARAKAH) berupa barangan keperluan makanan kepada seorang warga emas, Mohd Jamil Ahmad, 62, pada Program Penutup Siri Jelajah 'Internship' Mahasiswa Anak Negeri (IMAN) 2.0 dan Turun Padang di Kampung Darat hari ini. --FotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
ALOR SETAR- Rakyat perlu menilai dengan bijak keupayaan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memimpin negara, memandangkan bekas perdana menteri itu kini telah berusia 92 tahun, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau berkata keupayaan Dr Mahathir untuk memimpin negara tidak akan sama seperti ketika beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun semasa berada dalam UMNO.

“Jadi terpulang kepada rakyat. Saya yakin rakyat dapat menilai kemampuan dia kerana kita nak menuju ke negara yang lebih maju, yang lebih dinamik.

“Jadi kalau kita dah tau sejarah 22 tahun dia menjadi Perdana Menteri dan hari ini dah keluar pelbagai agenda yang tersembunyi selama 22 tahun yang sudah diketahui rakyat, maka rakyat kena menilai semula,” katanya kepada pemberita pada Program Penutup Siri jelajah IMAN 2.0 dan Program Turun Padang di Kampung Darat di sini hari ini.

Pada Ahad lepas, Pakatan Harapan menamakan Dr Mahathir yang merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai calon perdana menteri jika pakatan itu memenangi pilihan raya umum ke-14, manakala Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri.

Ahmad Bashah juga yakin Dr Mahathir sekiranya dilantik sebagai perdana menteri beliau lebih mementingkan agenda parti yang ditunjangi anaknya Datuk Seri Mukhriz lebih daripada kepentingan rakyat.

“Sekarang ini kita lihat Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tidak disebut nama dan disisihkan demi agenda politik beliau…mana Muhyiddin sedangkan dia Timbalan Perdana Menteri suatu ketika dulu,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah itu berkata UMNO dan Barisan Nasional sudah bersedia dalam segala persiapan untuk berdepan dengan PH pada Pilihan raya Umum ke-14 yang dilihat bersungguh-sungguh untuk mengambil alih kerajaan.

“Tiap kali berdepan pilihan raya, mereka bersungguh-sungguh tetapi rakyat tetap menolak…namun BN juga tidak boleh leka dan juga perlu bersungguh-sungguh untuk memperkemaskan jentera parti bagi memastikan jentera kita mantap.

“Itu bukan bermakna kita takut kepada pakatan tetapi ia perlu dilakukan dalam nak berdepan PRU yang akan membabitkan seramai 1.2 juta pengundi di Kedah,” katanya.- BERNAMA