Irwandi Jaswir

KUALA LUMPUR – Pensyarah dan penyelidik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Irwandi Jaswir dianugerahkan Hadiah Antarabangsa Raja Faisal 2018 untuk kategori Sumbangan kepada Islam daripada Yayasan Raja Faisal di bawah naungan kerajaan Arab Saudi.

Jawatankuasa pemilihan Hadiah Antarabangsa Raja Faisal 2018 telah mengumumkan senarai penerima semalam.

Irwandi, 48, berasal dari Medan, Indonesia menjawat jawatan Timbalan Dekan (Akademik, Penerbitan dan Penyelidikan) Institut Antarabangsa Penyelidikan dan Latihan Halal (INHART) UIAM.

Beliau terpilih dalam kategori sumbangan kepada Islam.

Selain itu juga penganugerahan ini adalah pengiktirafan hasil kerja pasukan beliau dalam membangunkan kaedah baharu untuk menganalisis bahan-bahan dalam pembuatan makanan halal dan mewujudkan prosidur praktikal dalam penghasilan Gelatin Halal dari pelbagai sumber bukan porcine seperti Unta dan Ikan.

Selain itu beliau dan pasukan penyelidik telah menghasilkan kit mudah alih pengesan bahan bukan halal dalam makanan, kosmetik dan barangan kepenggunaan untuk melindungi pengguna yang terdiri daripada orang Islam.

Kit tersebut dapat mengenal pasti dan mengesan dalam beberapa saat akan kehadiran bahan alkohol dan lemak babi (lemak berasas porcine) dalam makanan dan minuman.

Beliau juga pernah menerima Anugerah Habibie dari kerajaan Indonesia pada tahun 2013 dalam bidang Perubatan dan Bioteknologi Anugerah Habibie merupakan antara anugerah akademik paling berprestij dan tertua di rantau ini.

Anugerah untuk kategori ini mula diperkenalkan pada tahun 1977 oleh kerajaan Arab Saudi.

Hadiah Antarabangsa Raja Faisal adalah pengiktirafan yang diberikan setiap tahun dan diberikan kepada insan yang banyak memberi sumbangan dan impak kepada dunia Islam.

Anugerah tersebut dibahagikan kepada lima kategori iaitu dalam bidang Sains, Perubatan, Bahasa dan Kesusateraan Arab, Pengajian Islam dan Sumbangan kepada Islam (sumbangan individu dari segi penyelidikan, pemikiran, kepimpinan).

Raja Salman bin Raja Abdul Aziz Al-Saud akan menyampaikan anugerah hadiah tersebut dalam satu majlis penganugerahan yang akan diadakan tidak lama lagi.

Beliau yang ditemui berkata, amat terkejut dan menganggap anugerah ini adalah salah satu penghargaan yang diberikan dan pengiktirafan dalam dunia pendidikan dan penyelidikan yang dilakukan untuk memberi manfaat kepada seluruh umat Islam.

“Saya amat terkejut dan dalam masa yang sama amat bersyukur kerana sumbangan dan penyelidikan saya dalam bidang halal mendapat pengiktirafan dan saya berterima kasih kepada semua pihak atas kejayaan ini”. ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.- MalaysiaGazette