Azam Baki

PULAU PINANG – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pelaksanaan kajian terowong dasar laut di Pulau Pinang kini menjurus kepada pembayaran RM305 juta kepada syarikat-sayrikat yang dilantik untuk membuat kajian tersebut oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Menurut sumber, pasukan penyiasat kini sedang merakam percakapan saksi-saksi dalam syarikat-syarikat yang dilantik itu bagi mengenal pasti proses pembayaran untuk kajian kebolehlaksanaan tersebut.

Kata sumber itu lagi, menerusi penelitian dokumen-dokumen yang dirampas dalam proses siasatan, maka dipercayai dapat membantu untuk mengenalpasti sama ada bayaran tersebut (RM305 juta) adalah nilai sebenar atau yang telah dinaikkan.

Selain itu, uajrnya, SPRM juga sedang menyiasat sama ada syarikat-syarikat tersebut mempunyai pengiktirafan untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut.

“Kita juga perlu lihat sama ada pakar-pakar yang dilantik untuk membuat kajian tersebut mempunyai kepakaran khusus dalam membuat kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut.

“Tidak kira sama ada pakar-pakar yang dilantik itu adalah terdiri daripada kerajaan mahupun pihak swasta, apa yang penting mereka perlu mempunyai kepakaran untuk menjalan kajian terowong dasar laut,” katanya di sini hari ini.

Difahamkan, kerajaan telah menetapkan piawaian kepakaran untuk menjalankan semua kajian kebolehlaksanaan termasuk kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menyiasat secara terperinci berhubung pembayaran penganugerahan pelaksanaan kajian terowong dasar laut tersebut.

Beliau berkata disebabkan ia melibatkan aspek-aspek teknikal yang perlu dilihat secara mendalam, maka pasukan penyiasat memerlukan masa bagi menyiasat kes tersebut.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak memberikan ruang dan peluang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan dan pihaknya masih dalam proses merakam percakapan saksi-saksi penting yang dipercayai dapat membantu melengkapkan siasatan ini.

“Kita akan panggil beberapa individu penting dalam masa terdekat untuk merakam percakapan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan SPRM hari ini merakam percakapan lapan individu termasuk setiausaha syarikat, penasihat dan perunding-perunding syarikat serta menggeledah sembilan syarikat di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette