Buku Kelantan Milik Siapa ini cuba menjawab persoalan politik Kelantan dan berkongsi ramalan dengan orang ramai mengenai apa yang berlaku di negeri itu selepas PRU 14 kelak.

KUALA LUMPUR – Tiga nama pemimpin besar di Kelantan telah disenaraikan sebagai bakal Menteri Besar (MB) negeri itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

Mereka ialah MB sekarang dari Pas, Datuk Ahmad Yakub, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan, Datuk Husam Musa.

Seorang daripada tiga pemimpin ini akan menjadi MB secara mutlak sebaik sahaja parti mereka diumumkan menang dan memerintah Kelantan.

Namun, penganalisis politik terkenal, Mohd. Sayuti Omar menerusi buku terbaharunya, “Kelantan Milik Siapa” yang bakal diterbitkan, tidak memilih Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan sebagai MB.

Beliau sebaliknya, menamakan Mustapa atau Husam sebagai pemegang kerusi nombor satu Kelantan berdasarkan senario politik hari ini yang dilihat memihak kepada UMNO dan PAN.

Dalam tulisan itu, beliau menyorot perkembangan Pas Kelantan di bawah pimpinan Ahmad yang malap dan membawa pelbagai masalah serta pertikaian kehebatan kepada parti itu selama ini.

“Saya menghuraikan beberapa masalah dihadapi oleh Ahmad sebagai MB dan ahli politik,” katanya sambil menyifatkan PRU-14 adalah ujian penggal akhir kepada Ahmad dan juga Pas.

Buku yang dijangka berada di pasaran minggu depan turut memuatkan kelebihan dan kekurangan ketiga-tiga tokoh berkenaan termasuk hajat Mustapa untuk mengakhiri politiknya dengan menjadi menteri besar Kelantan sebagai legasinya.

Atau apakah Ahmad bakal menjadi MB yang membawa kepada kejatuhan Pas Kelantan atau sejauh manakah harapan rakyat untuk melihat Husam muncul menjadi menteri besar, semuanya dihurai dan dibahaskan dalam buku itu.

Menurut Mohd Sayuti, politik Kelantan menjadi kian menarik berikutan ketiadaan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan dengan penubuhan PAN yang menjadi saingan kedua Pas selepas UMNO.

Katanya, Pas mungkin sudah biasa berhadapan dengan tentangan UMNO dan telah berjaya membuktikan kekuatannya, tetapi berbeza dengan PAN.

“PAN yang juga darah daging Pas mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri berbanding UMNO dalam berhadapan dengan Pas. Apakah keistimewaan parti serpihan Pas ini?” soal beliau. – MalaysiaGazette