Pengunjung parti dalam kolam bergaul bebas menyambut tahun baharu 2018.

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Perak menggesa kerajaan negeri menyediakan mekanisma bersepadu bagi mengawal dan bertindak ke atas pihak tertentu menganjurkan program sosial bersifat melampau serta menyalahi hukum Islam.

Timbalan Ketuanya, Hafez Sabri memberi contoh, penganjuran 2018 Magic Countdown oleh Lost World of Tambun yang menyelitkan tarian ‘Glow In The Dark’ dan parti dalam kolam yang diadakan secara terbuka kepada khalayak adalah tidak wajar berlaku kerana menyinggung perasaan umat Islam.

Malah, katanya, sebelum ini Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria pernah menegur sebarang program sempena sambutan tahun baharu yang menyajikan persembahan melampau adalah haram.

“Walaupun umat Islam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam pernah membuat bantahan sehingga ada program terbabit dibatalkan, tetapi kerajaan negeri masih tidak mempedulikan sensitiviti orang Islam dengan membenarkan program seumpama itu dianjurkan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Hafez Sabri

Beliau mengulas satu video yang tular baru-baru ini menunjukkan orang ramai termasuk yang beragama Islam bersorak dan menjerit dalam acara parti dalam kolam ketika menyambut tahun baharu 2018 di taman tema air Lost World of Tambun.

Program bernama 2018 Magic Countdown itu dikenakan bayaran tiket serendah RM40 dengan pelbagai acara diadakan seperti persembahan naga manusia, bunga api dan tarian glow in the dark dengan iringan muzik rancak.

Menurut  Hafez, keseronokan bebas seperti itu hanya membuka jalan mungkar kepada maksiat lebih besar yang tentunya cenderung juga kepada pengambilan arak, dadah dan penzinaan.

“Bahkan ia boleh mengundang kepada pelbagai kegiatan negatif lain termasuk jenayah.

“Kerana itu, langkah mengekang atau mencegah adalah sebaiknya, sebagaimana kaedah ‘saddu zaraie’ yang diajar dalam Islam sama ada membatal atau dihadkan kepada bukan Islam sahaja,” ujar beliau.

Beliau berkata, kerajaan Perak harus menjadikan penganjuran sedemikian sebagai pengajaran terhadap wujudnya kelemahan penguatkuasaan berkaitan yang perlu diperbaiki segera.

Selain itu, katanya, tidakan tegas terhadap penganjur dengan nasihat dan amaran mesti segera diberikan agar tidak berulang.

“Kepekaan awam dari kalangan NGO, aktivis masyarakat, ibu bapa, guru dan lain-lain penting ke arah membimbing anak muda khususnya dari terjebak kepada perkara tersebut.

“Kami menasihati anak muda agar menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan mengikut syarak. Dekatkan diri dengan pelbagai kegiatan positif dan berfaedah lagi bermanfaat serta tidak terikut-ikut darah muda untuk bersosial hingga merosakkan diri dan maruah,” katanya. – MalaysiaGazette