Home Nasional 633 terima bintang, darjah kebesaran, pingat Negeri Sembilan

633 terima bintang, darjah kebesaran, pingat Negeri Sembilan

Tuanku Muhriz Tuanku Munawir

KUALA PILAH – Sultan Kedah Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah mengetuai senarai 693 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Negeri Sembilan bersempena ulang tahun ke-70 keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Sultan Sallehuddin menerima Darjah Kerabat Negeri Sembilan (DKNS).

Tuanku Muhriz turut berkenan menganugerahkan Darjah Seri Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Terbilang (SSTM) kepada anakanda baginda Tunku Zain Al-Abidin.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Dr Awaludin Said dan Aktivis Keamanan Dunia Datuk Dr Ronald Mc Coy dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS), yang membawa gelaran Datuk Seri.

Hakim Mahkamah Tinggi Seremban Abu Bakar Jais antara tujuh penerima Darjah Datuk Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Datuk.

Turut menerima DPNS, Anggota Dewan Undangan Negeri Johol Abu Samah Mahat, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Johani Hassan, Pengarah Urusan Kumpulan Biforst Logistics Hamie Appala Nakkiah, Pakar Perunding Perubatan Hospital Assunta Dr L. Suresh Raj, Pengarah Eksekutif Ekovest Bhd, Lim Hoe dan Pengerusi Persatuan Generasi Tanpa Dadah Malaysia Mohd Azzarain Abdul Aziz.

Hakim Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datin Faizah Jamaludin dikurniakan Darjah Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Gemilang (DSTM) yang membawa gelaran Datuk.

Sejumlah 25 orang dikurniakan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang turut membawa gelaran Datuk.

Antara penerimanya ialah Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaludin, Ahli Lembaga Pengarah Muzium Negeri Dr Nadzan Haron, Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan Baharudin Jali dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Sains Islam Malaysia Prof Dr Roshadah Hashim.

Sebanyak 31 orang menerima Darjah Setia Negeri Sembilan (DNS) termasuk Pengarah Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) Wan Rasdi Wan Ismail dan Ketua Polis Daerah Seremban ACP Thiew Hock Poh.

Pada tahun ini dua orang menerima pingat Darjah Tuanku Muhriz (DTM) dan 18 orang menerima Darjah Pekerti Terpilih (DPT). – MalaysiaGazette