Akhyar Rashid

KUALA LUMPUR – Nama Akhyar Rashid tiba-tiba menjadi sebutan selepas Malaysia seri 1-1 menentang Jordan dalam perlawanan kedua Kumpulan C Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) (B-23) di China, semalam.

Menjadi pemain paling muda dalam kejohanan debut Malaysia pada Piala AFC B-23 itu, pemain remaja pasukan Kedah itu tidak menjadikan tubuh kecil sebagai penghalang untuk bergerak lincah di atas padang.

Akhyar yang baru berusia 18 tahun dilihat menjadi pemain yang berani apabila dia sering mengelecek menentang pemain lawan yang bersaiz besar.

Akhyar diturunkan sebagai penyerang sayap kiri dan dia menjadi pemain yang paling banyak melakukan sentuhan bola dengan 45 sentuhan.

Dua daripadanya adalah dalam kotak penalti apabila satu daripada sentuhan itu mencetuskan percubaan gol yang terkena tiang.

Pemain kelahiran Alor Star, Kedah ini juga memiliki larian yang laju untuk seorang penyerang sayap terutama sekali ketika bola di kakinya.

Kelebihan pemain ialah boleh beraksi sebagai midfilder kerana dia memiliki kekuatan daripada segi tenaga dan juga kepintaran gelecek untuk mencetuskan huru hara di kawasan pertahanan lawan.

Memiliki ketinggi 1.69 sentimeter, dia adalah punca kepada penalti yang disempurnakan oleh Safawi Rasid di dalam perlawanan itu.

Untuk perlawanan akan datang, Akhyar hanya perlu memperbaiki aspek kreativiti dalam permainannya kerana telah memiliki penguasaan bola yang baik.

Justeru, tidak salah memilih Akhyar sebagai pemain terbaik dalam perlawanan menentang Jordan, semalam. – MalaysiaGazette