Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) melawat pameran permainan komputer pada Majlis Perasmian Cyber Game Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan yang mengiktiraf permainan cyber games atau e-sukan sebagai industri baharu negara disambut baik oleh golongan muda.

Rata-rata mereka berpendapat sudah tiba masanya corak permainan sukan di negara ini diubah sejajar dengan perkembangan semasa.

Mohd Zarif Aiman Aris, 19, berkata, pengiktirafan kerajaan terhadap permainan itu adalah sangat wajar kerana generasi muda pada hari ini sangat terdedah dengan teknologi.

Menurutnya, mereka tidak lagi perlu bersukan secara tradisional, sebaliknya boleh melakukan aktiviti tersebut di dalam rumah sambil bersantai dengan keluarga.

Mohd Zarif Aiman Aris

“Dengan cara tersebut masalah gejala sosial juga dapat dikurangkan dan ia pasti memberikan manfaat dalam masyarakat,” katanya.

Mohd Shahril Ahmad Rose, 31, pula memberitahu, pengiktirafan kerajaan terhadap permainan ini mampu menjana industri ekonomi digital yang lebih luas.

Katanya, ramai dalam kalangan generasi Y mempunyai kebolehan untuk mencipta perisian permainan dan dengan cara itu kebergangtungan terhadap kerja makan gaji dapat dikurangkan.

“Mereka boleh mencipta sendiri perisian permainan ini dan kemudian menjualnya.

Mohd Shahril Rose

“Jika ciptaan perisian itu menarik, saya pasti penggemar permainan cyber games ini akan mendapatkannya dan itu boleh menjana pendapatan yang lumayan,” jelasnya.

Sementara itu, Ag Mohd Amir Arif Ag Buhtamam, 23, berkata, generasi muda tidak mahu ketinggalan dalam bidang teknologi digital yang semakin meluas.

Ujarnya, e-sukan sudah menjadi satu permainan yang sangat popular dan pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan pasti akan menjadikan sukan digital ini semakin diminati.

“Saya yakin selepas ini pasti ramai lagi anak muda akan mengikuti sukan tersebut dan sokongan kerajaan itu sememangnya dialu-alukan,” katanya.

Ag. Mohd Amir Arif Ag. Buhtamam

Bagaimanapun bagi seorang penggemar sukan tersebut Norfazli Mohd Ishak, 33, pula beliau berpendapat, kekerapan untuk golongan muda atau remaja terhadap permainan itu perlu dikawal.

Ini kerana katanya, terlalu asyik bermain sehingga tidak bergaul dengan masyarakat boleh menyebabkan ia menjadi satu perlakuan negatif.

Norfazli Mohd Ishak

“Mereka tidak boleh dibirkan terlalu leka dan ibu bapa perlu memainkan peranan agar anak-anak mereka tidak lalai dengan permainan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette