Penyanyi, Wani Kayrie ketika sesi fotografi bersama lensa Malaysia Gazette di studio Malaysia Gazette, Sungai Besi. foto FAREEZ FADZIL, 12 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Penyanyi remaja, Wani Kayrie menyifatkan hubungan cintanya bersama pemain sayap skuad Bawah 22 Tahun Negara (B-22), Safawi Rasid kini hanya tinggal sejarah.

Wanie, 17, berkata, kali terakhir dia berhubung dengan Safawi yang juga pemain Johor Darul Takzim (JDT) pada November tahun lalu.

Malah penyanyi yang popular dengan lagu Jangan Jangan itu memberitahu, jejaka berusia 20 tahun itu tidak mengucap selamat maju jaya kepadanya sebelum menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) bulan yang sama.

“Semuanya sudah tinggal sejarah. Waktu Sukan SEA Ke-29 pada Ogos lalu memang kami rapat.

“Tipulah tiada perasaan kalau hari-hari berhubung dan saya pernah pergi stadium tengok dia beraksi ketika itu.

“Lepas Sukan SEA berakhir, ada kami keluar bersama tiga kali termasuk bersama keluarga. Namun akibat salah faham, hubungan kami menjadi renggang dan putus secara tiba-tiba,” katanya ketika berkunjung ke Studio MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Penyanyi, Wani Kayrie ketika sesi fotografi bersama lensa Malaysia Gazette di studio Malaysia Gazette, Sungai Besi. foto FAREEZ FADZIL, 12 JANUARI 2018

Semalam, Safawi menjaring gol buat Malaysia menentang Jordan ketika seri 1-1 pada perlawanan kedua kumpulan C Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) (B-23) di China.

Namun Wani memuji sifat baik jejaka kelahiran Dungun, Terengganu itu yang berjaya mencuri hatinya selama berkenalan.

Jelas juara Kamilah Bintang di Astro Ceria pada 2010, Safawi seorang yang suka memberi sokongan dan memahami dirinya.

“Paling saya terkesan, Safawi sentiasa mengambil berat tentang ibu bapa dan keluarganya.

“Mungkin tiada jodoh panjang hubungan dan saya doakan dia berjaya sebagai pemain bola sepak yang berjaya di dalam dan luar negara pada masa akan datang.

“Saya pula mahu memberi fokus kepada dunia nyanyian kerana sudah selesai SPM selain album pertama saya akan dilancarkan pada bulan depan,” katanya tersenyum manis.

Wani dan Safawi dilamun cinta ketika Sukan SEA Ke-29 pada Ogos lalu.

Wani yang tidak meminati sukan bola sepak mula mengenali Safawi sejak 2015 kerana lelaki itu pernah beberapa kali menghantar mesej di Instagramnya.

Selepas menonton satu aksi membabitkan Safawi di Sukan SEA ke-29 itu, Wani baru perasan jejaka itu adalah seorang pemain bola sepak pasukan JDT yang pernah menghantar mesej.

Lantaran itu, Wani mengucap tahniah di Instagram Safawi dan mereka mula rapat apabila sering berbalas mesej. – MalaysiaGazette

TERIMA KASIH PENAJA:

Busana Anas Abdullah (016-693005)

Solekan Shine Matahari