Shahar Abdullah

KUALA LUMPUR – Sikap Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menjadikan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang sedang gering sebagai bahan jenaka disifatkan sebagai biadap dan tidak menghormati institusi beraja.

Ketua Pemuda UMNO Pahang, Shahar Abdullah berkata, Mahfuz telah menunjukkan kecetekkan akalnya sebagai seorang pemimpin pembangkang.

“Perbuatan kurang ajar Mahfuz yang membandingkan KDYMM Sultan Ahmad Shah dengan pemimpin Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir adalah perbuatan bodoh yang tidak sepatutnya dilakukan oleh ahli politik berumur seperti beliau yang sepatutnya lebih faham akan sistem perundangan dan sistem beraja negara.

“Meskipun kita sedia maklum bahawa pemimpin Pakatan Harapan tidak pernah berhenti bermain politik sehingga sering melibatkan sultan yang merupakan Raja Berpelembagaan di negara ini.

“Tetapi tindakan Mahfuz yang keterlaluan sehingga memalukan dan mempolitikkan keadaan kesihatan KDYMM Sultan Ahmad Shah yang ditularkan itu sudah melampaui batas seorang ahli politik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahar turut mengingatkan walaupun Mahfuz merupakan seorang ahli Parlimen namun, beliau masih tertakluk di bawah undang-undang apabila berceramah di hadapan orang awam.

Sehubungan itu katanya, Pemuda UMNO Pahang menggesa tindakan undang-undang diambil terhadap Mahfuz mengikut Akta Hasutan 1948 atas kesalahan menerbitkan pernyataan menghasut bagi menghina Sultan.

Pemuda UMNO juga kata beliau, menggesa Mahfuz membuat permohonan ampun terhadap Sultan Ahmad Shah secara terbuka ekoran tindakannya yang dangkal dan tidak boleh diterima itu.

“Sesungguhnya pemimpin tidak kira dengan pegangan politik apa sekali pun di negara ini perlu sedar bahawasanya mereka wajib menghormati institusi beraja yang menunjangi kedaula­tan, keutuhan, kestabilan dan ke­sejahteraan negara khususnya dalam menjaga kesucian agama Islam dan memelihara kepentingan orang Melayu di Malaysia,” ujarnya. –  MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.