Juara, Siti Khadijah Ab. Halim (tengah), Naib Juara, Nur Ainaa Azhari (kanan) dan Pemenang Tempat Ketiga, Azlin Abdul Aziz (kiri) bergambar dengan trofi dan hadiah dimenangi mereka pada acara Final Pencarian Gadis Panca-NR di Ibu Pejabat Utusan Malaysia, Kuala Lumpur. foto SAFWAB MANSOR, 12 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Buat julung-julung kalinya diadakan, program pencarian Gadis Panca-NR 2017 telah mendapat sambutan yang cukup hebat dan membanggakan.

Bertempat di Dewan Besar Utusan Melayu, Chan Sow Lin pertandingan Akhir Pencarian Gadis Panca-NR telah berlangsung secara gilang gemilang, semalam.

Acara yang buat julung-julung kalinya diadakan oleh akhbar Mingguan Malaysia ini menampilkan 12 peserta akhir yang berentap untuk merebut gelaran Juara Gadis Panca-NR musim ini.

Acara yang pertama kali dianjurkan oleh Mingguan Malaysia melalui sisipan hiburan popular Pancaindera ini telah memulakan pencarian pada Januari 2017 dan menerima hampir 3,000 penyertaan dari seluruh negara.

Hanya 45 peserta terpilih ke peringkat Semi Final manakal 12 peserta disaring ke peringkat akhir.

Para finalis dan jemputan kenamaan bergambar pada acara Final Pencarian Gadis Panca-NR di Ibu Pejabat Utusan Malaysia, Kuala Lumpur. foto SAFWAB MANSOR, 12 JANUARI 2018

Pertandingan yang menyediakan hadiah lumayan itu dianjurkan dengan tujuan untuk mencari bakat-bakat baharu dalam industri seni tanah air sebagai pelakon dan pengacara.

Pada acara yang sama, tiga artis ternama tanah air turut menerima penghargaan melalui anugerah khas Anugerah Cover Pancaindera Terbaik.

Penyanyi dan pelakon Ayda Jebat dianugerahkan pemenang untuk kategori Cover Sensasi Pancaindera manakala Farahdhiya pemenang untuk kategori Cover Versatil Pancaindera dan Neelofa Cover Inspirasi Pancaindera.

Majlis pada petang itu juga turut dimeriahkan dengan persembahan artis oleh Heal Hussaini, Nabila Razali dan Andy Bernadee.

Pencarian Gadis Panca pada kali ini telah menobatkan Siti Khadijah Ab. Halim, 20 tahun sebagai juara.

Pelajar jurusan Komunikasi di Universiti Institut Teknologi MARA itu menerima hadiah wang tunai RM10,000, tiket melancong ke London sumbangan Aspire Travel dan kontrak lakonan selama dua tahun dengan A. Aida Production.

Sementara Nur Ainaa Azhari, 18 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur membolot tempat sebagai Naib Juara dan menerima hadiah wang tunai RM5,000, tiket melancong ke Australia serta kontrak lakonan

Tempat ke-3 jatuh kepada Azlin Abdul Aziz, 19 tahun dan membawa pulang wang tunai RM3,000, tiket melancong ke Phuket- MalaysiaGazette