Home Seni Hidup Beri ruang kepada Farid, keluarganya – Seniman

Beri ruang kepada Farid, keluarganya – Seniman

Farid Kamil Zahari melambai tangan ketika dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk disambung reman sehari lagi, pagi tadi. foto HAZROL ZAINAL, 15 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Persatuan Seniman Malaysia mahu orang ramai berhenti membuat sebarang spekulasi terhadap pelakon dan pengarah filem, Datuk Farid Kamil.

“Kita harus menghormati pihak berkuasa dan memberikan mereka ruang untuk menjalankan siasatan tanpa sebarang gangguan, kita juga harus memberikan sedikit ruang buat keluarga Farid untuk menyelesaikan perkara ini,” kata Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah.

Katanya, Seniman juga sedia membantu Farid dari pelbagai aspek termasuk khidmat kaunseling.

Farid kini masih ditahan reman sehari lagi bagi siasatan berhubung empat kes jenayah termasuk menampar anggota polis dan orang awam di Balai Polis Kota Damansara, baru-baru ini.

Keempat-empat kes yang dihadapi Farid ialah mendatangkan kecederaan yang disiasat mengikut Sek­syen 323 Kanun Keseksaan, menampar polis disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967, penggunaan dadah disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mengganggu tugas penjawat awam disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette