Rizal Disandi (dua kiri) dan kumpulan Armada membuat persembahan pada Pelancaran Album Armada di Red Box Pavilion, Kuala Lumpur. foto IMRAN FAKHRI, 15 JANUARI 2018..

KUALA LUMPUR – Sepuluh tahun usia Armada, kumpulan band itu akhirnya bakal melangsungkan konsert yang pertama di Malaysia pada 17 Mac ini.

Kumpulan yang berasal dari Indonesia itu mengakui lagu ‘Asal kau bahagia’ yang mendapat sambutan hangat di sini menjadi pembuka jalan untuk mereka mengadakan konsert yang akan diadakan KL Live.

“Kita sudah buat penyelidikan, alhamdulillah lagu kita (Asal kau bahagia) mendapat lebih 200 juta penonton di Youtube dan bukan semuanya dari Indonesia.

“Sebanyak 30 hingga 40 peratus dari Malaysia. Kami punya keyakinan bahawa Malaysia juga butuh (perlukan) Armada untuk datang,” kata vokalisnya, Rizal Disandi, pada majlis pelancaran album ‘Maju terus pantang mundur’ di Redbox Pavilion.

Konsert yang julung kali diadakan di sini itu nanti juga tambah Rizal, 32, adalah hasil rancangan lebih 10 kali namun terhalang akibat kekangan masa Armada.

Penyanyi kumpulan Armada, Rizal Disandi bercakap pada sidang media di Pelancaran Album Armada di Red Box Pavilion, Kuala Lumpur. foto IMRAN FAKHRI, 15 JANUARI 2018.

“Kenapa sekarang, itu kerana masa. Sebelum ini lebih 10 kali mahu buat konsert di sini namun semuanya kerana masa yang tidak sesuai dan masa itu kami kebetulan ada perkara lain yang mendatang,” ujarnya.

Rizal memaklumkan Armada akan mendendangkan 20 buah lagu daripada lima album termasuk yang dilancarkan di Malaysia hari ini.

Beliau turut menyuarakan hasrat untuk menyanyi bersama-sama dengan penyanyi lagenda Malaysia iaitu Amy Search pada konsert kumpulan tersebut nanti selain beberapa lagi artis tempatan lain.

Disebalik tajuk album ‘Maju terus pantang mundur’ Rizal berdoa agar kumpulan itu terus berjaya walaupun telah 10 tahun berkecimpung  dalam industri seni ini.

Antara lagu terbaru mereka adalah Keluarga, Kamu kenapa, Drama, Dengerin Abang, Adam Hawa dan turut menyelitkan Asal Kau Bahagia. – MalaysiaGazette