Home Nasional Mahkamah lanjut reman Farid Kamil

Mahkamah lanjut reman Farid Kamil

Pelakon dan pengarah filem, Datuk Farid Kamil Zahari yang menampar seorang anggota polis trafik dan menendang dua orang awam di sambung reman sehari lagi bagi membantu siasatan ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 15 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret hari ini melanjutkan reman sehari lagi terhadap pelakon dan pengarah filem, Datuk Farid Kamil Zahari.

Perintah itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Hairul Azhar Mohd. Ishak terhadap pelakon berusia 37 tahun itu bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap empat kes jenayah termasuk menampar anggota polis di Balai Polis Kota Damansara, Khamis lalu.

Keempat-empat kes dihadapi Farid ialah mendatangkan kecederaan yang disiasat mengikut Sek­syen 323 Kanun Keseksaan, menampar polis disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967, penggunaan dadah disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mengganggu tugas penjawat awam disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya; Seksyen 90 Akta Polis 1967 membawa hukuman denda tidak lebih RM500 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya; Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya dan Seksyen 353 memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda.

Terdahulu, Farid yang memakai baju kemeja berjenama Denim tiba di Aras 1, Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, pukul 11.30 pagi diiringi polis mahkamah.

Dalam kejadian pada pukul 1.20 tengah hari, Khamis lalu, pelakon terbabit dilaporkan ke balai polis berkenaan untuk membuat laporan berkaitan kemalangan jalan raya.

Ketika berurusan di kaunter terbabit, pelakon berkenaan secara tiba-tiba menampar muka petugas lelaki yang menerima aduan itu, disaksikan beberapa anggota lain dan orang awam.

Selain mencederakan polis yang berusia 24 tahun itu, dia dipercayai menendang dua orang awam di tempat sama. – MalaysiaGazette