KUALA LUMPUR – Polis digesa meningkatkan pemantauan keselamatan di kawasan sekolah bagi mengelak sebarang kejadian culik berlaku.

Pegawai Tadbir Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri Chempaka, Hafiz Razak berkata, gesaan itu dibuat ekoran kejadian cubaan menculik pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Indah, baru-baru ini.

“Kami mengesa polis meningkatkan pemantauan berkala sama ada bermotor atau rondaan angota dengan kereta polis.

“Ini kerana, banyak kes culik berlaku tetapi hingga sekarang tidak ada khabar berita diterima sama ada dijumpai atau tidak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hafiz juga mencadangkan polis menempatkan pos atau bilik kawalan bergerak di setiap sekolah sekitar Pandan Indah untuk menangani kes penculikan yang aktif sejak akhir-akhir ini.

Katanya, kejadian tersebut berlaku kepada pelajar berusia 12 tahun, Muhammad Faiz Amrun, pada 12 Januari lalu.

Laporan polis yang dibuat oleh pelajar berkenaan menjadi tular di laman sosial.

“Pelajar tersebut ditarik oleh seorang lelaki berbangsa India yang duduk disebelahnya di perhentian bas di hadapan sekolah untuk dipaksa menaiki van berwarna putih yang dipandu kawan kepada lelaki tersebut.

“Namun dimaklumkan pelajar tersebut telah menggigit tangan penculik itu untuk melepaskan diri sebelum terus berlari untuk menaiki bas.

“Walaubagaimanapun, kejadian itu telah dilaporkan kepada polis dan sedang dalam siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

Pelajar terselamat bila gigit tangan penculik