Sirajuddin Salleh

KUALA LUMPUR – Semua pihak harus menghormati hak biasiswa kepada Bumiputera sebagaimana termaktub dalam perlembagaan Negara.

Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Sirajuddin Salleh berkata, perkara itu termaktub dalam Fasal 153(1) perlembagaan yang perlu dilaksanakan.

Katanya, mana-mana pihak tidak boleh membantahnya jika ia dilaksanakan termasuk Kontrak Sosial dan Wasiat Raja-Raja Melayu.

“Pemberian biasiswa kepada pelajar Bumiputera amat perlu, memandangkan bilangan golongan profesional Bumiputera jauh lebih sedikit berbanding bukan Bumiputera.

“Sebab utama pemberian itu bagi membolehkan pelajar Bumiputera yang tidak berkemampuan dari segi menampung kos, melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Sirajuddin, kerajaan perlu meneliti perkara itu dan melakukan sesuatu sekarang, sebelum terlambat kerana jurang ekonomi kaum Bumiputera semakin hari semakin meluas.

“Dalam hubungan ini, kita jangan sekali-kali lupa kenapa berlakunya Peristiwa 13 Mei. Bukankah kerana kaum Bumiputera masa itu terasa kehidupan amat tertekan bagai ayam mati di kepok padi dan itik kehausan di air, lantaran kera di hutan yang disusukan dan anak dipangkuan ditinggalkan?

“Bukankah pemimpin negara mengadakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk matlamat perpaduan nasional melalui penyusunan semula masyarakat?” soal beliau.

Bagaimanapun, katanya, amat malang sekali kerana sehingga kini jurang antara Bumiputera dan bukan Bumiputera masih meluas dan perpaduan nasional juga kian rapuh.

Menurut beliau, satu-satunya “instrument” paling berkesan ialah biasiswa yang mampu melonjakkan penguasaan ekonomi Bumiputera ke tahap lebih tinggi.

“Kita dengan ini menganggap puak yang menentang biasiswa untuk Bumiputera sebagai anti perpaduan nasional yang sekali gus ingin melihat kehancuran negara.

“Perkasa menyeru kerajaan dan semua badan korporat, khususnya syarikat kerajaan untuk segera menambah jumlah peruntukan biasiswa kepada kaum Bumiputera bagi melanjutkan pengajian ke universiti tempatan dan luar negara.

“Langkah ini akan sekali gus memenuhi hak yang tertera dalam Perlembagaan Malaysia dan Wasiat Raja-Raja Melayu,” ujar beliau.

Beliau turut mengingatkan kepada kerajaan jangan sekali-kali lupa Bumiputera dan pribumi adalah penduduk asal negara ini serta membentuk lebih 65 peratus penduduk negara. – MalaysiaGazette