Tunku Ismail Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Hasrat Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai venue tuan rumah bagi pasukan Selangor pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2018 dianggap sebagai satu perkara yang mustahil.

Perkara itu dinyatakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan yang dikeluarkan FAM hari ini selepas mendapati stadium tersebut tidak dapat digunakan secara total sepanjang tahun oleh juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali itu.

Menurut Tunku Ismail, pelbagai usaha telah dibuat oleh pihak pengurusan stadium dan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) bagi mengkaji perkara itu.

“Pihak pengurusan stadium telah mengesahkan bahawa empat daripada enam perlawanan pertama sebagai tuan rumah perlu dipinda untuk memenuhi jadual acara yang akan dilangsungkan di stadium tersebut dan mungkin lebih banyak lagi pindaan jika pasukan bola sepak kebangsaan atau acara antarabangsa membuat permintaan untuk menggunakan stadium nasional.

“Kedua-dua pihak iaitu pihak pengurusan stadium dan FMLLP telah berusaha untuk bekerjasama bagi mengkaji perkara ini, tetapi adalah mustahil untuk memberi jaminan bahawa stadium tersebut tersedia sepanjang tahun,” kata Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu seperti dipetik di dalam kenyataan FAM.- BERNAMA

Comments are closed.