Pelakon, Janna Nick ketika semasa sesi fotografi di Flora Terrace, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi, Janna Nick memberi hadiah paling bermakna kepada ibunya dengan menghadiahkan sebuah kereta mewah sempena ulang tahun kelahiran ke-44 wanita itu, malam kelmarin.

Menerusi perkongsian video di laman sosial Instragramnya, Janna atau nama sebenarnya Nurul Janna Muner, 23, dalam nada sebak meluahkan penghargaan serta ucapan khas buat wanita istimewa dalam hidupnya yang dikenali sebagai Shasha atau Mama Scha.

“Tiada perkara lain yang mampu membuatkan saya gembira selain melihat kebahagiaan dan kegembiraan insan yang paling saya sayang.

“Apa saja yang Angah buat dalam dunia ini semuanya adalah untuk mak, bukan untuk orang lain atau sesiapa pun sebab Angah sayangkan mak.

“Angah tak tahu apa yang Angah nak buat dalam dunia ini kalau mak tiada. Semoga mak gembira selalu, panjang umur dan sihat sentiasa,” kata pengacara baharu Melodi itu

Sebelum itu dalam rakaman video itu, adik Janna, Nurul Balqis, 15, dilihat menyerahkan kunci kereta kepada ibu mereka yang tampak terkejut dan menitiskan air mata saat menerima hadiah berkenaan. – MalaysiaGazette