Mahfuz Omar
Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR – Baharu sahaja keluar daripada Pas, Datuk Mahfuz Omar mula mengkritik dengan lebih hebat presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan menyifatkan parti Islam itu sudah menjadi parti ‘aksesori’.

Mana tidaknya, Mahfuz berkata, kenyataan Hadi yang mengatakan Pas sekadar mensasarkan untuk menang 40 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum akan datang sebagai sesuatu yang memalukan dan tidak layak digelar sebagai kuasa alternatif lagi kepada rakyat.

“Pertamanya, Pas kini sudah mengakui secara terbuka bahawa mereka bertanding pada PRU 14 bersama dengan gabungan yang disebut ‘Gagasan Sejahtera’ bukanlah atas hasrat untuk menang dan membentuk kerajaan yang pemerintahannya berteraskan Islam sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh ‘penyokong-penyokong taksub Pas selama ini di media sosial mahupun di kedai kopi.

“Pas rupa-rupanya hanya sekadar berhasrat untuk menjadi ‘oportunis politik’, maka Pas dan Gagasan Sejahtera tidaklah layak dipanggil alternatif atau ‘third force’ untuk rakyat,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena dalam satu kenyataan hari ini.

Mahfuz turut membidas Hadi sudah menjatuhkan martabat Pas dengan kenyataan sedemikian kerana ia menunjukkan mereka hanya sekadar mahu menjadi sebuah parti ‘aksesori’.

“Secara peribadi saya agak sedih melihat parti yang lebih 34 tahun saya berjuang di dalamnya selama ini merupakan antara parti politik utama di negara ini dan alternatif kepada BN (Barisan Nasional) akhirnya menurunkan mertabat dirinya sendiri kepada hanya sebuah parti pelengkap dan ‘aksesori’ sahaja yang tidak mempunyai sikap yang jelas dalam mendepani halatuju pemerintahan negara demi rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette