Asisten Komisioner Hamzah Alias

AMPANG JAYA – Polis Daerah Ampang hari ini mengesahkan, dakwaan seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di Pandan Indah, di sini, diculik sekumpulan tiga lelaki menaiki van putih semalam, sebagai cerita rekaan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, hasil soal siasat, pelajar itu akhirnya mengaku telah mereka cerita dia diculik kerana tertekan kerana disuruh menumpukan perhatian terhadap pelajaran dan mengurangkan bermain.

“Dia merasa tertekan apabila disuruh supaya menumpukan pada pelajaran dan kurangkan bermain, dengan itu dia cuba mereka cerita kononnya ada cubaan menculik oleh sekumpulan tiga lelaki,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Semalam, tular di media sosial kononnya pelajar terbabit didatangi dia lelaki berbangsa India ketika sedang menunggu bas di sebuah hentian di Taman Pandan Indah.

Kedua lelaki itu kemudiannya dikatakan telah menarik tangan pelajar terbabit dan membawanya masuk ke dalam sebuah van.

Kira-kira 10 minit kemudian pelajar itu mendakwa dia berjaya melarikan diri setelah menggigit tangan lelaki India yang dikatakan duduk di sebelahnya, sebelum menaiki bas Rapid pergi ke sekolahnya.

Menurut Hamzah, berikutan pembohongan itu, pelajar berkenaan menarik balik laporan yang dibuat di Balai Polis Pandan Indah.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak cepat menyebarkan cerita yang tidak tentu kesahihannya kerana ia boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat. – MalaysiaGazette

Pelajar terselamat bila gigit tangan penculik