Home Nasional Perhilitan rampas bahagian babi hutan, kepala kambing gurun

Perhilitan rampas bahagian babi hutan, kepala kambing gurun

KUALA LUMPUR – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menemui 122 bahagian babi hutan yang dilapah dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda sekatan jalan raya di Lalang Pepuyu, Tanah Merah, Kelantan, baru-baru ini.

Hasil pemeriksaan lanjut, seorang lelaki tempatan berbangsa Cina gagal menunjukkan sebarang lesen yang sah yang dikeluarkan oleh Perhilitan bagi membawa hidupan liar tersebut.

Bahagian-bahagian babi hutan itu dipercayai cuba diseludup keluar dari Malaysia.

Perhilitan telah menyita kesemua bahagian hidupan liar terbabit serta kenderaan tersebut.

Suspek telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Tanah Merah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana menyimpan hidupan liar tanpa lesen.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Semalam Perhilitan Kedah menahan dua lelaki di Jalan Shahab Perdana, Alor Setar, Kedah kerana menyimpan bahagian hidupan liar secara tidak sah.

Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua bahagian hidupan liar disyaki kepala kambing gurun yang diletakkan dalam sebuah bekas plastik yang berisi minyak.

Kedua-dua suspek gagal menunjukkan sebarang permit khas yang dikeluarkan oleh Perhilitan bagi menyimpan bahagian hidupan liar tersebut.

Perhilitan percaya kepala kambing gurun itu digunakan sebagai bahan dalam pembuatan minyak untuk perubatan tradisional.

“Perhilitan percaya hidupan liar terbabit telah diperolehi secara tidak sah melalui aktiviti pemburuan haram. Kambing gurun merupakan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” katanya dalam kenyataan di sini.

Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana menyimpan hidupan liar tanpa permit khas dan sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak lebih daripada RM500,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun. – MalaysiaGazette