Sesi fotografi bersama Kumpulan Armada di Pelancaran Album Armada di Red Box Pavilion, Kuala Lumpur. foto IMRAN FAKHRI, 15 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Mempunyai lima orang anggota kesemuanya namun kumpulan muzik Indonesia, Armada seringkali hanya tampil berempat sahaja di mana-mana.

Seperti baru-baru ini, Armada tiba di ibu negara untuk melancarkan album terbaharu mereka namun tanpa kehadiran pemain gitar bas mereka, Endra.

Ianya menimbulkan tanda-tanya kepada peminat mereka.

Rupa-rupanya ada kisah di sebaliknya. Vokalis kumpulan yang popular dengan lagu ‘Asal Kau Bahagia’ itu mendedahkan, Endra tidak lagi boleh memberikan komitmen yang penuh sejak enam tahun yang lalu.

Ini kerana Endra menghidap penyakit radang selaput otak yang mengakibatkannya tidak dapat hadir jika ada promosi di luar daripada negara asal mereka.

Bagaimanapun, menurut Rizal, Armada tidak pernah berniat untuk menggantikan tempat Endra sebaliknya tetap membahagikan setiap pendapatan yang diperoleh kepada semua ahli-ahlinya termasuk Endra.

“Sejak lebih enam tahun lalu, Endra menghidap penyakit meningitis iaitu sejenis radang yang berlaku pada saraf otak.

“Jadi dia selalunya tidak akan terlibat untuk sebarang persembahan pentas yang boleh membuatkan keadaan kesihatannya terganggu.

“Apa pun, dia tetap menyumbang khidmatnya sebagai pemain basis seperti biasa untuk rakaman album dan apa-apa yang berkaitan dengan Armada,” katanya ketika ditemu selepas pelancaran album terbaru di Redbox Pavilion baru-baru ini.

Kata Rizal lagi, mereka tetap memikirkan Endra dalam setiap rezeki yang diraih walaupun dia tidak dapat lagi memberikan komitmen seperti biasa.

“Pembahagian tetap ada untuk Endra sebab kami percaya dia juga perlukan wang untuk menyara keluarga dan perawatannya. Jadi sedikit mana sekalipun pendapatan kami tetap dibahagikan untuk berlima,” ujarnya.

Untuk itu Armada bakal beraksi dalam konsert yang bakal diadakan di sini 17 Mac ini tanpa Endra namun akan berusaha membawanya walaupun sekadar menjadi penonton. -MalaysiaGazette