Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Dasar kerajaan yang mengenakan syarat 30 peratus saham percuma kepada pihak tertentu didakwa boleh memberii ‘ancaman’ kepada kedatangan pelabur asing ke negara ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, dasar yang tidak mesra pelabur asing itu perlu dihentikan segera kerana ia merugikan negara.

“Dasar kerajaan mesti mesra pelabur dengan mewujudkan iklim sesuai dengan pelaburan iaitu undang-undang mesti berpihak kepada pelabur.

“Jangan pula ada cerita di mana pelabur diminta memberi 30 peratus saham percuma kepada orang tertentu.

“Dasar-dasar semacam ini tidak menggalakkan pelabur,” katanya ketika bersiaran langsung di akaun Facebooknya dalam segmen Policy Talk: Pendidikan & Pekerjaan Orang Muda hari ini.

Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri berkata, Pelaburan Langsung Asing (FDI) tidak menguntungkan negara dan rakyat tempatan susulan pembelian tanah dan pembangunan kawasan mengguna tenaga kerja dari negara asing.

“Jadi pekerja dari negara kita tidak mendapat peluang sama sekali dan ini tidak menguntungkan negara.

“Ada pelabur mendirikan bangunan atau bandar canggih untuk orang asing dan pekerja juga datang dari negara lain, maka ini tidak menguntungkan negara sama sekali,” katanya.

Katanya lagi, pihak swasta lebih bertanggungjawab untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan untuk itu polisi kerajaan perlu memberi keselesaan kepada pelabur tempatan dan luar negara.

“Kalau pemerintah tidak mengadakan dasar-dasar yang sesuai dengan pelaburan, maka pelabur-pelabur tidak akan melabur bahkan mereka akan melabur di negara lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.