Shahrir Samad

KUALA LUMPUR – Isu pertukaran hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, di sini, antara Felda Investment Corporation Sdn Bhd dengan syarikat Synergy Promenade Sdn. Bhd. (SPSB) bukan sebuah lakonan atau drama untuk memperlihatkan kehebatan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, menurut Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad, proses transaksi tukar hak milik itu berlaku beberapa tahun lalu, sebelum beliau masuk ke agensi berkenaan pada 6 Januari 2017.

“Kalau orang kata ini semua drama, tanah itu ditukar milik sebelum saya masuk ke seini lagi. Masa tu semua orang tak tahu mengenainya. Lembaga Pengarah sendiri pun tan tahu, apatah lagi saya.

“Saya pun tak tahu yang beberapa tahun selepas itu rupanya saya akan mengisi jawatan Pengerusi Felda ini, malah tak pernah terfikir pun. Kalau betul ini semua drama, wahhh..hebatlah saya,” katanya yang dipetik menerusi temubual beliau dengan wartawan portal theRakyat.com, semalam.

Menurut Ahli Parlimen Johor Bahru itu, dari awal ketika mengambil alih Felda, beliau sudah dimaklumkan yang agensi itu menghadapi masalah sehingga tidak mendapat kepercayaan bank kerana banyak hutang hingga terpaksa menjual saham.

Katanya, walaupun ramai tidak senang hati kenyataannya itu, baginya sebagai orang yang diberi tanggungjawab oleh Perdana Menteri untuk menjaga Felda, beliau mesti telus dan tidak akan menyembunyikan realiti yang berlaku pada agensi berkenaan.

Dalam usahanya itu, beliau akhirnya berjaya mendapatkan semula hak milik tanah Felda bernilai kira-kira RM200 juta daripada SPSB tanpa melibatkan apa-apa kos sehingga dianggap sebagai ‘hero’.

“Mengenai gelaran ‘hero’ itu, sejujurnya saya tak merasakan ia begitu. Apa yang heronya? Ini bukan satu benda yang luar biasa. Kita hanya mengambil tindakan mengikut apa yang kita rasa betul berdasarkan nasihat daripada pelbagai pihak.

“Pegawai undang-undang Jabatan Perdana Menteri pula tengok cadangan kita sebelum diangkat pula ke pejabat Peguam Negara.

“Semua proses itu berjalan, bukannya kita pandai-pandai buat sendiri. Akhirnya mereka setuju untuk kita buat laporan polis bagi membolehkan kita membuat kaveat pendaftar untuk melindungi dan mempertahankan kepentingan agensi ini,” katanya.

Menurut beliau, semuanya dilakukan dengan telus dan terbuka serta secara yang terbaik demi kepentingan Felda.

Mengenai pembongkaran kes itu oleh sebuah akhbar arus perdana, Shahrir berkata, ramai tidak suka, tetapi baginya tidak mengapa.

“Kita kena hormat pada kebebasan akhbar untuk melaporkan apa yang mereka mahu. Yang penting, kita ada jawapan untuk kes yang mereka bongkarkan itu.

“Tetapi, sebagai agensi kerajaan, kita kenalah ruju pada kementerian atau jabatan yang mengawalselia kita dalam hal ehwal Felda ini. Kita kenalah ruju pada JPM.

Menjawab soalan, Shahrir berkata, penyerahan balik hak milik tanah itu mengesahkan pandangannya yang SPSB sebenarnya tidak perlu pada tanah itu.

Ini kerana, katanya, dengan surat kuasa wakil (PA) sahaja, syarikat berkenaan sudah dapat perintah pembangunan untuk mendirikan menara yang pertama dan sudah ada pajakan selama 20 tahun terhadap menara tersebut.

“Syarikat (SPSB) sudah stabil, mengapa perlu tukar hak milik tanah itu? Itu yang kita tertanya-tanya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette