KUALA LUMPUR – Polis merakam percakapan 31 individu bagi membantu siasatan kejadian seorang remaja lelaki maut selepas dihempap sebuah kerusi pejabat yang dicampak dari tingkat atas pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam, Isnin lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, pihaknya menemubual semua mereka yang terdiri daripada saksi serta penghuni di PPR setinggi 21 tingkat itu.

“Unit Siasatan Tempat Kejadian (CSI) Polis Kuala Lumpur turut mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada kerusi yang dicampak itu serta lima saksi yang dirakam percakapan untuk dibuat analisa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggangu siasatan.

“Katanya, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan setakat ini laporan bedah siasat belum diperoleh.

Mazlan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Firdaus Shahril di talian 012-3388164 atau 03-90516222 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Brickfields, DSP Tonny Lunggan di talian 014-6225262.

Dalam kejadian kira-kira 8.10 malam itu, mangsa S Sathiswaran, 15, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. – Bernama