KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis cedera selepas motosikalnya dirempuh sebuah kereta yang diarahkan berhen,ti di persimpangan lampu isyarat di Paya Jaras, Sungai Buloh dekat sini, yang turut menyaksikan polis terpaksa melepaskan empat das tembakan dalam insiden itu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt S. Somu berkata, kejadian berlaku apabila dua anggota polis daripada Unit Rondaan Bermotosikal (URB) mengarahkan sebuah kereta jenis Honda Civic dinaiki dua lelaki yang mencurigakan supaya berhenti untuk pemeriksaan.

Namun, seorang daripada suspek yang merupakan pemandu kereta, bertindak agresif dan melanggar motosikal polis mengakibatkan seorang daripada anggota URB terbabas dan terjatuh dalam kejadian pada 11.05 pagi tadi, katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, anggota URB yang terjatuh itu terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah kereta suspek manakala seorang lagi anggota polis mengejar suspek sehingga di hadapan sebuah rumah di Jalan Paya Jaras Hilir.

“Ketika hendak menahan suspek (pemandu kereta) di hadapan rumah itu, sekali lagi pemandu kereta itu mengundur dan melanggar motosikal URB menyebabkan anggota polis melepaskan tiga lagi das tembakan ke arah suspek,” katanya

Somu, bagaimanapun berkata, pemandu kereta itu dapat meloloskan diri dan kereta suspek ditemui di Kampung Kubu Gajah namun rakannya yang berumur 49 tahun dapat ditahan dan didapati mempunyai lima rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah.

“Pasukan forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan gerakan memburu seorang suspek yang masih bebas diteruskan. Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

“Anggota polis yang dirempuh kereta suspek mengalami kecederaan pada muka, kaki dan tangan manakala rakannya tidak cedera,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh atau pegawai penyiasat, Inspektor Samri di talian 03-61561222. – Bernama