Home Utama Mahfuz langgar tertib orang Melayu – Pemangku Raja Pahang

Mahfuz langgar tertib orang Melayu – Pemangku Raja Pahang

KUANTAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kecewa dengan Datuk Mahfuz Omar yang mempersendakan ayahanda baginda, Sultan Ahmad Shah dalam ceramah politiknya.

Baginda turut menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Pokok Sena itu sebagai tidak menghormati orang yang lebih tua.

“Saya dapati daripada percakapannya, dia (Mahfuz) sudah langgar ketertiban seorang Melayu.

“Sebagai seorang Melayu, dia lebih muda daripada ayahanda saya dan kita selalu diasuh untuk menghormati orang tua, lebih-lebih lagi seorang Raja,” titah baginda kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran di Taman Sungai Isap 2 di sini hari ini.

Baginda juga percaya kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen itu sudah dibuka oleh pihak berkuasa selepas banyak laporan polis dibuat.

“Saya serah kepada pihak berkuasa untuk buat siasatan, sebab sudah banyak laporan polis sudah dibuat sama ada daripada pertubuhan bukan kerajaan dan pihak istana,” titah baginda.

Baru-baru ini, Mahfuz dalam ceramahnya, antara lain mengulas kewajaran Tun Dr. Mahathir Mohamad berusia 92 tahun dipilih sebagai calon perdana menteri dan membandingkannya dengan Sultan Ahmad Shah yang kekal menjadi Sultan Pahang walaupun sedang gering.

Klip video ceramah Mahfuz bersama Pakatan Harapan berdurasi 6.38 minit itu tersebar di laman media sosial.

Tindakannya itu dikecam pelbagai pihak yang juga telah membuat laporan polis terhadapnya. – MalaysiaGazette

Comments are closed.