Nur Sajat Kamaruzzaman. foto AFFAN FAUZI, 24 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris berterusan mengecam pihak berkuasa agama ekoran membiarkan tingkah laku Datuk Nur Sajat Kamaruzzaman.

Menerusi rakaman yang disiarkan secara langsung di Facebook, Wan Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai Papagomo berkata, langkah berdiam diri oleh pihak berwajib terhadap usahawan kosmetik yang didakwanya sebagai maknyah itu boleh memberi pengaruh yang lebih buruk dalam kalangan masyarakat.

“Saya melihat menerusi Instagram dan Facebook saya, ramai kaum wanita menyokong dengan isu (menentang Nur Sajat) yang saya bawa ini, kerana mereka adalah individu yang paling terkesan dengan golongan maknyah dan bapuk seperti Nur Sajat yang telah memberi aib besar kepada wanita.

“Penyokong-penyokong Nur Sajat, yang masih remaja dan berperwatakan lembut ini menghentam saya. Ini berpunca kerana mereka mengidolakan Nur Sajat,” katanya di laman berkenaan dalam “Bicara Mysuara: LGBT Semakin Melampau” hari ini.

Wan Muhammad Azri Wan Deris

Muhammad Azri berkata, kehadiran Nur Sajat seolah menggalakkan lagi kelahiran golongan pondan atau bapuk yang menjadikan usahawan terkenal itu sebagai “idola” mereka.

Katanya, golongan-golongan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) akan menjadi semakin berani sekiranya tindakan tegas tidak diambil kepada individu seperti Nur Sajat dan Safiey Ilias.

Dalam pada itu, beliau bersetuju dengan pandangan moderator, Faizal Riduan yang berpendapat ikon-ikon seperti Nur Sajat boleh melahirkan lebih banyak golongan songsang.

Tambahnya, tindakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pergi berjumpa dengan Nur Sajat juga seolah menunjukkan bahawa beliau “lebih kebal” daripada pihak berkuasa agama. – MalaysiaGazette