Home Politik Pas anggap PH perlekeh kuasa YDPA

Pas anggap PH perlekeh kuasa YDPA

KUALA LUMPUR – Pengumuman untuk melantik Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri (PM) oleh Pakatan Harapan (PH) disifatkan memperlekehkan kuasa Yang Dipertuan Agong (YDPA).

Ketua Penerangan Pas Pusat,  Nasrudin Hassan berkata, berdasarkan Perlembagaan, pelantikan PM hanya boleh dilakukan selepas budi bicara YDPA sebagai pemerintah tertinggi negara.

“Pas selaku sebuah parti Islam yang akur kepada prinsip-prinsip Rukun Negara termasuk kesetiaan kepada raja dan negara serta keluhuran Perlembagaan.

“Maka soal pelantikan PM, sesiapa juga tidak wajar mendahului apatah lagi memperkecilkan kuasa budi bicara YDPA.

“Ini kerana Perkara 40 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan menyebut YDPA boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melantik seorang Perdana Menteri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh memberitahu, mana-mana pihak tidak layak membuat keputusan sebelum rakyat memberikan mandat kepada ketua pentadbir kerajaan yang layak menerusi sistem demokrasi iaitu pilihan raya.

“Begitu juga Perkara 43 (2) (a) yang menyebut Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik sebagai Perdana Menteri “seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”.

“Adalah menjadi suatu ketidakwajaran memberikan kata dua kepada YDPA untuk sama ada melantik si polan atau si polan  menjadi PM.

“Pas tidak ketinggalan dari tokoh-tokoh yang berkelayakan untuk menjawat anggota kabinet mahu pun Perdana Menteri, namun ia bukan keutamaan masa ini untuk di namakan si polan bin si polan.,” ujarnya lagi.

Kenyataan itu  susulan daripada desakan Pengerusi PH semalam agar Pas mengumumkan calon PM yang disokong mereka sama ada Tun M mahu pun Datuk Seri Najib Razak. – MalaysiaGazette

PAS sokong saya atau Najib sebagai PM? – Tun M