Reaksi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika menjawab persoalan yang ditanyakan oleh moderator Datuk Aznil Hj Nawawi (kanan) pada Wawancara Bicara 4 Mata di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto MALAYSIA GAZETTE, 2018

KUALA LUMPUR – Sasaran negara untuk menyaksikan pengurangan kebergantungan pekerja asing sebanyak 15 peratus pada tahun 2020 agak sukar dicapai.

Bagaimanapun, jika generasi muda negara bersedia menjadi pekerja kolar biru dan memenuhi permintaan pasaran, unjuran pengurangan itu mungkin boleh dicapai.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, di Malaysia bukan kerajaan yang membawa pekerja asing sebaliknya atas permintaan majikan.

Menurutnya, majikan memohon kepada Kementerian Sumber Manusia untuk mendapatkan permit dan visa kepada Jabatan Imigresen.

“Kenapa ada permintaan? Kerana ada eksport yang perlu kita penuhi, ada produk-produk yang perlu dikeluarkan, ada bangunan yang perlu ditingkatkan,” katanya dalam wawancara program Bicara 4 Mata bersama theRakyat.

Wawancara sejam itu turut disiarkan di TV1 RTM dan TV3.

Sambil mengambil contoh industri perabot di Muar, beliau berkata, pengeluar-pengeluar produk itu terpaksa menggunakan 73,500 orang tenaga buruh asing kerana daya tahan pekerja domestik agak rendah

Ahmad Zahid berkata, beliau sendiri pernah bertanya mengapa pengeluar-pengeluar perabot tidak memberi keutamaan kepada pekerja tempatan.

Pengeluar-pengeluar perabot itu mengakui bahawa keutamaan mereka memang diberikan kepada pekerja tempatan dengan gaji serta faedah yang pelbagai serta kemudahan perubatan, bonus dan cuti.

“Mereka (majikan) beritahu terdapat pekerja Malaysia yang ibunya meninggal tiga kali sepanjang tiga bulan bekerja sepanjang bekerja di kilang berkenaan, ertinya penipuan berlaku.

“Ibunya didapati tidak meninggal langsung tetapi orang menipu ni dia lupa dia telah menipu. Inilah yang dihadapi oleh kilang-kilang berkenaan. Dan kita harus tahu kilang-kilang itu mempunyai kontrak untuk pengeksportan perabot,” ujarnya.

Ahmad Zahid berkata, sejumlah 1.8 juta pekerja asing secara sah kini berada di Malaysia pada tahun lalu berbanding 2.35 juta pada tahun 2016 dan 2.73 juta pada 2015.

Tambahnya, kebergantungan negara kepada pekerja asing boleh terus dikurangan dengan syarat minda dan sikap anak muda berubah.

“Ini mengambil masa satu generasi. Saya yakin semua pihak komited untuk melakukannya, Insya-Allah ia akan dilakukan,” katanya yang percaya pengukuhan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui kursus-kursus pendidikan, ketrampilan atau kemahiran ini akan mewujudkan sifar pekerja asing pada tahun 2050. – theRakyat