Naib Presiden PAS, Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Pemimpin Pas menafikan sekerasnya dakwaan wujudnya pakatan sulit di antara parti itu dengan UMNO untuk terus mentadbir Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, ia tidak akan pernah berlaku sama ada sebelum ini atau sekarang.

“Tidak ada pakatan sulit yang diadakan di antara Pas dengan UMNO dari dulu hinggalah sekarang. Saya dalam kepimpinan Pas saya tahulah perkara itu.

“Ianya tidak akan berlaku,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Baru-baru ini, Kadir Jasin menerusi blognya mendakwa memperolehi maklumat sulit tersebut daripada seorang kenalan yang rapat dengan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed.

Malah katanya tambahnya lagi pelan tersebut dibantah oleh Mustapa.

Idris kemudiannya menempelak Kadir yang merupakan bekas wartawan namun membuat tuduhan yang tidak benar.

“Kadir Jasin ini tuduhannya tidak berasas, sepatutnya dia bekas wartawan tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak sahih seperti ini.

“Sebab dia tak dapat dedak daripada UMNO dan kini menyerang UMNO menyebalahi Pakatan Harapan menerusi PPBM pula,” tambahnya. -MalaysiaGazette