KUALA LUMPUR- Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) melancarkan Sadaqa House yang membolehkan sumbangan daripada orang awam dibuat menerusi platform digital pendanaan awam (crowdfunding) disalurkan bagi merealisasikan projek-projek kewangan sosial untuk sektor yang kurang mendapat perhatian seperti kesihatan, pendidikan dan keusahawanan.

Ia hasil usaha sama Ethis Ventures Sdn. Bhd., GlobalSadaqah.com.

Bank Islam dalam kenyataan di sini hari ini berkata, orang awam boleh membuat sumbangan melalui saluran-saluran Bank Islam sedia ada seperti Perbankan Internet, Perbankan Mudah Alih-i TAP, Kad Kredit-i Bank Islam dan sebagainya.

Di samping itu, Bank Islam akan memadankan dana yang dikumpul pada kadar 1:1 sehingga maksimum RM500,000.

Dalam fasa pertama, Bank Islam akan bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai rakan strategik untuk melaksanakan projek-projek seperti Yayasan Institut Jantung Negara (IJN), Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) dan Technology Park Malaysia (TPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin berkata, Sadaqa House merupakan sebahagian daripada agenda strategik kewangan sosial yang mana Bank Islam menggalakkan masyarakat melabur secara beretika bagi menyokong pembangunan ekonomi sektor-sektor yang kurang mendapat perhatian.

“Sebagai Pengantara Berasaskan Nilai, Bank Islam bertekad untuk mengubah landskap kewangan Islam, di mana ia lebih tertumpu kepada prinsip Triple Bottom Line iaitu mengambil kira aspek Pemerkasaan Sosial, Ekonomi Berdaya Tahan dan Pemulihan Alam Sekitar (Social Empowerment, Economic Resiliency and Environmental Regeneration).

“Melalui prinsip tersebut, kami percaya bahawa pembangunan masyarakat adalah asas kemajuan perniagaan kami, justeru, kami akan terus memberikan keutamaan kepada penyediaan kemudahan kebajikan sosial yang berkesan,” katanya.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Exco Pelaburan, Industri dan Perdagangan Dalam Negeri Kedah, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail. – MalaysiaGazette