Arsene Wenger.

LONDON – Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menyifatkan kehilangan bekas penyerang Robin Van Persie ke Manchester United lebih menyakitkan.

Wenger kini sedang berdepan kehilangan seorang lagi bintang, Alexis Sanchez yang semakin hampir untuk meninggalkan Stadium Emirates.

Namun kata pengendali kelahiran Perancis itu, jika penghijrahan Sanchez berlaku, juga ke Old Trafford, ia tidak terlalu pedih berbanding Van Persie.

Wenger ibarat sudah pasrah dengan pemergian pemain antarabangsa Chile itu dan percaya peminat Arsenal turut tidak akan terlalu kecewa tentang berita itu.

Arsenal dan Manchester United kini sedang dalam proses untuk melengkapkan perpindahan Sanchez dengan Henrikh Mkhitaryan akan menjadi pertukaran kepada pemain berusia 29 tahun yang dibeli dari Barcelona tersebut pada tahun 2014 tersebut.

Wenger turut tidak berselindung dengan mengatakan proses perpindahan itu semakin hampir untuk diselesaikan.

”Kami membawa masuk Van Persie ketika dia beraksi bersama skuad simpanan di Feyenoord,” kata Wenger kepada The Telegraph.

Wenger juga mengharapkan agar kehadiran Henrikh Mkhitaryan akan dapat mengimbangi impak daripada pemergian Sanchez ke Manchester United dan turut percaya penyokong setia Arsenal tidak begitu terkesan dengan apa yang dihadapi kelab tersebut ketika ini.

”Penyokong kami sedar Sanchez tidak akan memperbaharui kontraknya. Mereka perlu menerima keadaan itu,” ujar pengendali berusia 68 tahun itu.

Setelah lengkapnya perpindahan Alexis Sanchez ke United nanti, ianya bakal menjadikan beliau sebagai pemain yang menerima gaji tertinggi dalam sejarah Liga Perdana Inggeris. – MalaysiaGazette