Husam Musa

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Datuk Husam Musa berjanji akan menjadikan perairan negeri itu sebagai tempat untuk mendaratkan industri gas dan petroleum bagi menggantikan Wilayah Songkhla, Selatan Thailand.

Selain itu, katanya, beliau juga akan memastikan royalti minyak dapat dipulangkan semula kepada rakyat Kelantan, sekiranya PH diberi mandat membentuk Kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Berucap di hadapan kira-kira 200 masyarakat Cina beliau berkata, sudah tiba masanya rakyat Kelantan membuat perubahan dengan memberi mandat kepada PH untuk memerintah.

“Banyak lagi kita akan lakukan perubahan sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan. Pertamanya, kita perbetulkan pentadbiran yang dirasakan kurang baik. Selepas itu kita tingkatkan kebajikan rakyat dan kecekapan pentadbiran.

“Kita akan memberikan layanan yang baik, sama rata dan adil kepada rakyat termasuk membawa pembangunan yang seimbang,” katanya pada Dialog Rakyat: Bina Semula Negara di Medan Selera, Jalan Kebun, Kota Bharu, semalam.

Dalam ucapannya itu, Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor berkata, PH mempunyai harapan besar untuk menang kerana dari awal lagi mengumumkan individu yang akan dilantik sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Ujar beliau, PH tidak seperti Pas, yang secara sindiran menyatakan parti itu belum mengandung dan tidak ada anak macam mana hendak umumkan siapa perdana menteri dalam blok ketiga.

“Kita (PH) awal-awal lagi umum Tun Dr Mahathir (Mohamad) sebagai perdana menteri dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan.

“Bila kita bentuk kerajaan (Persekutuan), kita akan berusaha bebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dia boleh sertai politik dan bantu kerajaan bawah PH. Kita akan ada pemimpin yang kuat dan berpengalaman,” katanya.

Mengenai kenapa PH melantik Tun Dr Mahathir yang sudah tua dan berusia 92 tahun, Husam berkata, kerana Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu boleh berjuang dan sanggup korbankan dirinya untuk perbetulkan semula negara bersama seluruh rakyat. – MalaysiaGazette